KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan aliran trafik hingga 2.2 juta kenderaan sehari di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak 12, 13, 19 dan 20 Sept ini sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Malaysia.
Sehubungan dengan itu, PLUS dalam kenyataan hari ini menasihatkan pengguna Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dalam aplikasi PLUS.
“Dengan penambahbaikan terbaharu, MyPLUS-TTA kini boleh diakses pada hari-hari puncak terpilih.
“Ia direka untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan di Lebuhraya PLUS dan LPT2 untuk hari-hari puncak, di luar musim perayaan dengan lebih efisien, serta membantu memastikan aliran trafik lebih lancar sekali gus memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa,” menurut PLUS.
PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS untuk merancang perjalanan dengan lebih mudah, serta memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
“Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-62 dan selamat bercuti kepada semua rakyat Malaysia,” menurut PLUS- BERNAMA