Salah satu isu yang sering membelenggu kenderaan-kenderaan bermotor di Malaysia ialah keperluan untuk berhenti di plaza-plaza tol untuk membayar tol. Perkara ini dilihat lebih teruk apabila tiba waktu perayaan besar-besaran seperti Hari Raya Aidilfitri ataupun Tahun Baru Cina.

Kini, PLUS Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan menguji sistem pembayaran tol tanpa palang menggunakan sistem Automated Number Plate Registration (ANPR) bermula pertengahan tahun ini. Teknologi ANPR ataupun pengesanan nombor plat kereta automatik ini adalah sebuah sistem yang sudahpun diperkenalkan di banyak pusat membeli-belah di Malaysia untuk memudahkan dan mempercepatkan proses pembayaran apabila mereka mahu keluar dari kawasan parkir kereta.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya mengatakan bahawa PLUS telahpun membangunkan dan menguji sistem pembayaran tol ANPR ini secara tertutup sejak setahun yang lepas, dan akan memulakan ujian lebih terbuka, dengan pemilihan orang awam terpilih sekitar bulan September atau Oktober 2025 kelak.



Ujian “terbuka” ini akan melibatkan kira-kira 13 plaza tol dan sekitar 30-35 lorong tol TnG RFID sepanjang Lebuhraya Utara Selatan. Pengguna akan perlu memuat-turun dan mendaftar kenderaan dan butiran pembayaran mereka pada aplikasi JustGO Digital yang juga dibangunkan oleh PLUS Malaysia sendiri.

Pihak PLUS Malaysia turut mengatakan bahawa mereka akan membuka perkhidmatan pembayaran tol ANPR ini kepada pihak umum di masa akan datang, tetapi setakat ini, tidak memberi sebarang jangka-masa khusus tentang bilakah ia akan ditawarkan.
Menteri Kerja Raya mengatakan lagi bahawa ujian sistem ANPR ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem pembayaran tol Multi Lane Free Flow (MLFF) untuk memudahkan dan mempercepatkan pembayaran tol kenderaan tanpa palang, menyerupai dengan apa yang sedang digunakan di Singapura dengan sistem tol Electronic Road Pricing (ERP). Beliau mengatakan bahawa kerajaan sedang bertindak untuk memperkenalkan sistem pembayaran tol MLFF ini secara lebih meluas di lebih banyak jalan dan lebuhraya di seluruh Malaysia.