TUMPAT: Penduduk di Kampung Derdap, Pengkalan Kubor di sini bertindak bertindak menggantung kain rentang bagi meluahkan rasa kecewa selepas Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang menyebabkan mereka berdepan masalah banjir termenung.
Tinjauan mendapati lima kain rentang tertera tulisan ‘Projek Menyusahkan Rakyat’, Banjir#LubangAir, Tolonglah Bantu Kami PMX, Jalan Maut dan Sungguh Malang Nasib Kami yang di laluan masuk ke kampung berkenaan.
Pemasangan kain rentang yang dimuat naik oleh pengguna laman sosial Facebook Amri Ist telah mencetuskan perbedatan hangat dalam kalangan warga net.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mat, 60, berkata, tindakan itu diambil selepas mereka kecewa dengan sikap pemimpin tempatan yang seolah-olah tidak peduli dengan tekanan dihadapi ketika ini.
Katanya, dia berharap pemasangan kain rentang itu tular dan sampai ke pengetahuan Perdana Menteri.
“Saya akui, setiap tahun kawasan di sini ditenggelami banjir. Namun bila projek tebatan ini bermula pada 2022, kami berdepan dengan masalah banjir termenung yang begitu kronik.
“Jadi sampai bila perlu tanggung derita ini. Memburukan lagi keadaan, pembinaan projek ini semakin dilihat semakin perlahan, seolah-olah memberi gambaran ia akan terbengkalai,” katanya.
Mat memberitahu, banjir termenung penduduk turut berdepan masalah jalan rosak yang menjejaskan rutin harian mereka.
Katanya, dia berharap Perdana Menteri dapat turun ke lapangan dan melihat sendiri penderitaan penduduk di sini.
Utusan Malaysia 30 Disember 2023 lalu melaporkan, penduduk di 10 buah kampung yang terletak di pinggir Sungai Golok dekat Pengkalan Kubor di sini mendesak kerajaan membina pembetung di tiga lokasi sepanjang kawasan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Dakwa penduduk, ketiadaan pembetung itu telah menyekat aliran air keluar sekali gus menyebabkan penduduk Kampung Simpangan, Bendang Pak Yong, Jejulok, Kajang Sebidang dan sekitar berdepan masalah banjir termenung.-UTUSAN





