Pilihan raya umum Singapura 2025 sekali lagi mengukuhkan dominasi Parti Tindakan Rakyat (PAP). Parti pimpinan perdana menteri republik tersebut Lawrence Wong memenangi 87 daripada 97 kerusi yang dipertandingkan.
PAP berjaya meningkatkan peratus undi popular kepada 65.57 atau 1,564,770 undi secara keseluruhan berbanding pada tahun 2020, dengan 1,527,491 undi popular secara keseluruhan (61.24 peratus).
Parti Pekerja (WP) diterajui Pritam Singh kekal sebagai satu-satunya parti pembangkang yang memenangi kerusi parlimen. WP mengekalkan separuh kerusi yang dimenangi di Sengkang, Hougang serta AlJunied.
WP mencatatkan peningkatan undian popular keseluruhan 14.99 peratus, berbanding 11.22 peratus pada 2020. Pada tahun 2020 Parti Pekerja telah mendapat 279,922 berbanding keputusan baru-baru ini di mana sokongan undi popular telah melonjak kepada 357,763 undi.
Sebaliknya, parti-parti pembangkang lain seperti Red Dot United, Progress Singapore Party dan Singapore Democratic Party gagal memenangi sebarang kerusi, walaupun masing-masing memperoleh antara dua peratus hingga hampir lima peratus undi. Parti-parti kecil seperti Parti Solidariti Nasional serta calon bebas pula hanya mencatatkan sokongan bawah satu peratus daripada jumlah keseluruhan keseluruhan.
Struktur perwakilan rakyat di parlimen
Untuk pilihan raya kali ini, terdapat 97 kerusi yang diperuntukkan kepada wakil rakyat yang dipilih ke Parlimen Singapura. Parlimen Singapura kini terdiri daripada 97 kerusi yang diisi melalui pilihan raya langsung, iaitu peningkatan berbanding 93 kerusi pada pilihan raya sebelumnya. Secara umum, perwakilan rakyat di Parlimen Singapura ditentukan melalui tiga mekanisme berikut:
Pertama: Kawasan Pilihan Raya Ahli Tunggal (SMC), setiap kawasan akan diwakili seorang ahli parlimen.
Kedua: Group Representation Constituencies (GRC), setiap kawasan diwakili oleh satu pasukan terdiri daripada tiga hingga enam calon. Calon-calon tersebut mesti mewakili kelompok minoriti seperti Melayu, India atau lain-lain. GRC secara tidak langsung membantu mengembangkan pengaruh WP menerusi kemenangan di GRC Sengkang dan Aljunied.
Ketiga: Non-Constituency Members of Parliament (NCMP) diperuntukkan bagi calon yang kalah dalam masa yang sama memperolehi undi yang tinggi. Jumlah calon yang dipilih ditentukan berdasarkan kerusi kosong yang perlu diisi daripada kuota 12 tempat untuk parti selain pemerintah (PAP). Mereka mempunyai hak-hak hampir setara dengan ahli parlimen terpilih kecuali terlibat dalam undian lembaga perlembagaan atau tidak percaya.
Masa depan politik Singapura
Dalam pilihan raya Singapura kali ini turut menyaksikan menyaksikan tokoh pembangkang terkenal seperti Dr Chee Soon Juan dan Dr Paul Thambyah gagal memenangi kerusi. Harapan sesetengah pihak agar mereka menyertai parlimen melalui laluan NCMP juga tidak menjadi kenyataan, memandangkan dua kerusi tersebut dijangka diberikan kepada calon-calon WP yang tewas dengan undi tertinggi di Jalan Kayu dan Tampines.
Walaupun ini mungkin mengukuhkan lagi kedudukan WP, namun secara keseluruhan masa depan pembangkang ditanggapi agak suram. Untuk kekal relevan dalam konteks politik Singapura, sesebuah parti perlu membuktikan keberadaannya melalui kehadiran dalam parlimen. Ruang untuk mereka membina kredibiliti sangat terhad.
Walaupun WP mendapat ruang untuk menguruskan majlis perbandaran di kawasan Hougang dan Aljunied, platform yang lebih luas diperlukan untuk menunjukkan kemampuan mereka secara menyeluruh.
Untuk masa hadapan secara realistiknya kelihatan sukar untuk membayangkan negara Kota Singa tersebut akan diterajui oleh parti selain PAP, dalam masa yang sama WP dijangka terus mengembangkan pengaruhnya berdasarkan rekod prestasi membina pengaruh di Hougang, Sengkang serta AlJunied.
Dalam konteks ini Damanhuri Abbas daripada Parti Demokratik Singapura (SDP) membuka satu perspektif untuk diterokai secara serius, iaitu menghidupkan peranan mempengaruhi masyarakat sivil dalam menghidupkan mekanisme semak dan imbang dalam sistem politik Singapura.
Sebagai warga Malaysia peranan kita adalah sebagai pemerhati yang akan mencermati perkembangan serta dinamika politik yang berlaku di negara jiran tersebut dari masa ke semasa. Malaysia mempunyai dinamika politiknya yang perlu dihidupkan warganya dengan cara yang tersendiri.
FIRDAUS HAMSIN adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.