KANGAR: Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu mengemukakan Kertas Cadangan Menangani Isu Buli di Sekolah dalam usaha bagi membasmi budaya itu menerusi pendekatan secara holistik dan bersepadu.
Kertas cadangan itu dikemukakan semasa Townhall Parlimen ‘Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita’ yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti.
Wakil PIBKS PPD Bangsar Pudu, Zaliha Idris berkata, antara cadangan utama dikemukakan adalah meliputi penubuhan Taskforce Anti-Buli 360° di setiap PPD yang menghimpunkan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Ibu Bapa Komuniti (PIBK), komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Pasukan ini berperanan melaksanakan audit tingkah laku berkala, menyediakan saluran aduan selamat serta melibatkan alumni sebagai mentor rakan sebaya,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Krisis 1:3:7 melaporkan dalam satu hari, siasat dalam tiga hari dan tindakan dalam tujuh hari juga turut dibentangkan menerusi kertas itu.
Beliau yang juga merupakan Pensyarah Pengurusan Krisis dan Komunikasi di Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) berkata, bagi menyokong pelaksanaan itu, setiap sekolah dicadang menubuhkan Meja Komunikasi khusus untuk mengurus maklumat, kontra-naratif dan persepsi awam.
“Guru disiplin dan kaunselor pula wajar diberikan latihan berkala dalam pengurusan krisis dan komunikasi,” katanya.
Di samping itu, Zaliha berkata, antara cadangan lain yang turut dikemukakan adalah membabitkan pembentukan Pasukan Tugas Kontra-Naratif Digit melibatkan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurutnya, pasukan ini akan berperanan bagi memantau serta menurunkan kandungan berkaitan buli di media sosial di samping menggiatkan kempen anti buli.
“Penubuhan National Anti-Bullying Observatory (NABO) turut diusulkan dalam pembentangan kertas itu sebagai pusat data bersepadu bagi memastikan dasar berasaskan bukti, selain Unit Intervensi Psikososial Bergerak untuk menyediakan sokongan awal di sekolah dan komuniti yang berdepan kes buli serius.
“PIBKS percaya, jika tindakan tidak diambil segera kita berisiko melahirkan generasi yang trauma dan membudayakan keganasan sebagai jalan untuk mendapat kuasa,” katanya.-UTUSAN