Malaysia Oversight

Piala Sudirman: Susahlah kalau selalu macam ni…

By MkiniBM in May 6, 2025 – Reading time 4 minute
Piala Sudirman: Susahlah kalau selalu macam ni...


ULASAN SUKAN | Skrip sama kembali menghantui pemain dan jurulatih negara.

Apakah punca kegagalan kita di pentas saingan kejohanan Piala Sudirman yang berakhir dengan nota pilu di Xiamen, Ahad lalu?

Memang komuniti badminton cukup hampa apabila kita gagal layak ke separuh akhir. Ini bererti kita tidak berjaya mengulangi pencapaian sama pada 2021 dan 2023.

Apa yang berlaku di Xiamen baru-baru ini juga bermakna kita gagal mempertahankan pingat gangsa.

Kalau nak diceritakan alasan kegagalan itu memang banyak. Perdebatannya tidak akan berakhir malah akan timbul situasi seperti mahu bergaduh dan tidak kurang pula aksi menuding jari.

Antara isu paling ketara ialah mengenai isu langkah meletakkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam perlawanan terakhir kumpulan C apabila kita tewas kepada pasangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Jepun menang 3-2 dan muncul juara kumpulan, sekali gus dapat mengelak pertemuan dengan di peringkat suku akhir.

Pemerhati beranggapan peluang skuad negara lebih cerah andai Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (pasangan nombor dua dunia) dipilih bagi pertarungan penting tersebut kerana mereka berada pada tahap prestasi lebih baik untuk menundukkan lawan.

Tapi, apa pula reaksi atau senarionya jika Izzuddin-Tze Fei diturunkan dan mereka juga kecundang dalam perlawanan penting itu pada 1 Mei lalu?

Empat pasukan kuatnya seimbang

Ia akan berbalik kepada persoalan sama. Suara-suara sumbang akan berkata Aaron-Wooi Yik seharusnya dipilih kerana prestasi semasa mereka lebih baik berikutan kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, bulan lalu.

Perang mulut seperti ini tidak akan berakhir. Apa yang lebih penting ialah, kita melihat pada skop lebih luas atas kegagalan mara ke separuh akhir.

Sewajarnya apa yang perlu dicari ialah di manakah letaknya kesilapan sebenar. Ataupun lebih tepat juga, apa kekurangan yang ada pada pemain negara berbanding pasukan ternama lain?

Sebelum mengupas kelemahan pasukan negara, biarlah kita melihat dulu kemampuan pasukan gergasi seperti , Korea Selatan, Jepun atau Indonesia yang berjaya naik ke podium pada edisi kali ini.

Kita juga boleh bertanya, bagaimana mereka boleh layak dan kita pula tersingkir di pusingan suku akhir?

Jawapannya mudah. Empat pasukan itu  memiliki kekuatan seimbang dalam semua lima kategori acara dipertandingkan. Ini adalah satu inti pati yang memang diperlukan dalam kejohanan berpasukan campuran seperti Piala Sudirman.

2fbce120fd71cee7c0873961871897e5

Apa mahu diutarakan di sini ialah sesebuah pasukan gergasi dilengkapi barisan pemain lelaki dan wanita yang memiliki kemampuan besar untuk menang dan mengutip mata berharga untuk pasukan. Majoriti pemain ada status masing-masing susulan kejayaan memenangi banyak gelaran antarabangsa.

Umpamanya tuan rumah – – yang turun dengan barisan bintang begitu mantap. Justeru tidak menghairankan mereka akhirnya muncul juara walaupun di laman sendiri.

Kecuali kekalahan dalam acara perseorangan wanita pada perlawanan akhir, jelas pasukan China cukup mendominasi tiga perlawanan lain untuk menang bergaya 3-1 ke atas Korea Selatan.

Ia adalah gelaran kali ke-14 bagi China secara keseluruhan, dan kejayaan keempat berturut-turut sejak 2019.

Tiada khidmat Zii Jia

Kita mungkin berangan-angan untuk layak ke final bagi edisi tahun ini. Impian itu tidak salah. Itulah yang dinamakan semangat patriotik. Tetapi realitinya kekuatan menyeluruh kita tidak sama lagi dengan pasukan gergasi lain.

Harus juga ditanyakan kenapa kita tewas kepada Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

Sebelum masuk ke gelanggang pasukan lawan itu nyata lebih seimbang dalam semua lima sektor, iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, serta beregu campuran.

Bekas juara Piala Thomas 2014 itu sebenarnya ada banyak pilihan untuk meningkatkan peluang mereka layak ke peringkat suku akhir pada hari berkenaan.

Apa kurangnya Korea Selatan dan Indonesia. Mereka juga mantap dengan barisan pemain lelaki dan wanita yang terbukti kemampuan masing-masing di pentas besar.

Berbalik kepada kepincangan pasukan kita.

Pertama, kita agak lemah dalam acara perseorangan lelaki khususnya tanpa Lee Zii Jia, selain longgar dalam acara perseorangan wanita.

Leong Jun Hao – selaku kapten pasukan – mengisi tempat Zii Jia dan beraksi pada tahap terpuji. Tapi, kemampuan sebenarnya terbatas apabila tewas mudah kepada pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi dalam suku akhir.

ce6d824fbd05b68496a061b4d3ce2c06
Lee Zii Jia

Perseorangan wanita, Goh Jin Wei, hanya hebat dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan tetapi kurang bermaya apabila bertemu Jepun. Jelas dia berada pada kelas berbeza berbanding lawannya, Tomoka Miyazaki.

Ia sekadar menceritakan betapa kita akan sentiasa tertekan dengan situasi seperti ini. Skuad negara tiada pilihan kerana wajib menang tiga perlawanan iaitu beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran apabila bertemu pasukan gagah atau elit.

Di sini harapan besar tetap terarah kepada kemampuan pasangan Izzuddin-Sze Fei, Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah serta pasangan beregu campuran – Shevon Lee-Goh Soon Huat dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Skuad badminton nampaknya perlu banyak belajar erti keseimbangan dalam acara berpasukan.

Ringkasnya, jika situasi semasa berterusan, kita perlu menerima hakikat bahawa peluang ke perlawanan akhir di Piala Sudirman memang sukar atau pun hampir mustahil pada setiap edisi akan datang.

Satu lagi kelemahan di Xiamen ialah aksi kurang konsisten serta sifat keyakinan diri dalam kalangan pemain kita. Tambah perit, kekerapan melakukan kesilapan di atas gelanggang memburukkan keadaan.

Ia merupakan ‘penyakit lama’ yang masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya.

Di sini, jari akan kembali menuding ke arah program pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) –  kenapa kita kurang berjaya melahirkan barisan pemain remaja yang hampir sama taraf kemampuan dengan pemain utama negara.

Macam cerita lama saja.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link