Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan terhadap budaya parti kerajaan menggunakan jentera dan agensi kerajaan semasa kempen pilihan raya – sesuatu yang menurutnya pernah ditentang keras PH ketika BN berkuasa.
Rafizi berkata amalan lama itu kini berulang selepas pembentukan kerajaan perpaduan.
Menurutnya, program berskala besar oleh agensi kerajaan di kawasan panas setiap kali pilihan raya berlangsung memberi gambaran seolah-olah tiada reformasi berlaku.
“Sejak kerajaan perpaduan dibentuk pada 2022, saya perasan satu trend yang tak sedap. Setiap kali ada kempen pilihan raya, agensi-agensi kerajaan mula berlumba-lumba buat program di kawasan panas.

“Khemah besar, makan percuma, nampak ramai orang. Bukan sebab kekuatan hujah, tapi sebab jentera kerajaan bergerak sekali.
“Perbandingan dengan pengalaman saya di PRK Sungai Bakap: saya datang sorang-sorang, ada timbalan menteri lain datang dengan outrider, kereta rasmi, siap agensi ikut konvoi.
“Ini bukan perkara kecil, tetapi simptom masalah yang sama kita lawan selama 20 tahun lawan BN dulu,” katanya pada hantaran di Facebook.
Rafizi sekaligus memberi isyarat kegagalan mengekang budaya penyalahgunaan jentera kerajaan boleh menjejaskan kredibiliti reformasi yang dijanjikan.
Bersih turut keluar amaran
Pada 8 November lalu, Bersih turut menegur calon-calon pilihan raya daripada pelbagai parti kerana melakukan kegiatan yang boleh dianggap kesalahan pilihan raya dan tidak menepati etika kempen.
Dalam kenyataan itu, kumpulan reformasi pilihan raya tersebut mengingatkan mereka yang menggalas tugas sebagai menteri selepas pembubaran parlimen dan DUN wajib mematuhi konvensyen kerajaan sementara dan tidak menggunakan kelebihan jentera kerajaan.
“Calon-calon pilihan raya, parti-parti politik, jentera kempen dan semua pihak yang terlibat termasuklah menteri-menteri sementara hendaklah berkempen dengan bersih dan mematuhi undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.
Antara contoh kesalahan yang dibangkitkan Bersih ialah program pemberian minyak serta penukaran minyak hitam motosikal percuma oleh BN, PN dan PH di beberapa kawasan DUN dan parlimen.
Rakyat anggap sama saja – Rafizi
Rafizi menegaskan persepsi rakyat boleh berubah jika parti-parti yang pernah memperjuangkan reformasi kini mengulangi gaya lama.
“Kalau dulu kita marah bila BN guna agensi dan kenderaan kerajaan untuk kempen, hari ini bila kita buat cara yang sama, rakyat tengok dan buat rumusan: ‘2 kali 5, 5 kali 2.’
“Kalau orang yang kita undi atas nama reformasi pun mula ikut gaya lama, apa lagi harapan yang tinggal untuk rakyat biasa,” soal bekas menteri ekonomi itu.






