Seorang petugas Sabah Electricity Sdn Bhd hilang dihanyutkan arus deras ketika bertugas di sebuah kampung di Keningau, lewat malam tadi.
Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan penyelamat bersama dengan pihak berkuasa berkaitan telah digerakkan ke lokasi kejadian dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.
“Keutamaan kami ketika ini adalah keselamatan serta kebajikan kakitangan yang terlibat di samping memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa.
”Sabah Electricity akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam operasi ini dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dari semasa ke semasa,” katanya.
Sabah Electricity turut memohon semua pihak agar menghormati sensitiviti situasi ini dan memberi ruang kepada keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kenderaan pacuan empat roda syarikat itu yang terperangkap dalam banjir dengan arus deras, dan memaklumkan pasukan berkenaan sedang melaksanakan operasi pemulihan kerana kampung terbabit terputus bekalan elektrik.
Keningau merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah yang terletak kira-kira 110 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.
– Bernama