PETALING JAYA: Petronas berjaya menghantar Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) campuran pertama Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG), sekali gus membuktikan keupayaan dalaman Petronas serta kesediaannya untuk membekalkan SAF secara berterusan dan berskala di Malaysia.
SAF yang diperakui oleh International Sustainability & Carbon Certification (ISCC) dan memenuhi keperluan bahan api yang layak di bawah CORSIA ini telah dicampur secara tempatan di kemudahan pencampuran Petronas dan dihantar terus ke KLIA melalui saluran paip pelbagai produk milik Malaysian Refining Company Sdn. Bhd. (MRCSB).
Ini memastikan bekalan SAF yang sedia ada melalui rantaian bekalan Petronas yang bersepadu.
Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, Petronas mengiktiraf peranannya dalam memacu usaha global ke arah penyahkarbonan, khususnya dalam merealisasikan aspirasi sifar bersih negara dengan menjadi pemacu utama dalam pembangunan bahan api masa depan.
Katanya, penyahkarbonan industri penerbangan memerlukan laluan yang boleh dipercayai, dan SAF merupakan salah satu penyelesaian segera yang tersedia hari ini.
“Projek perintis ini adalah pelaburan jangka panjang strategik untuk membina keupayaan dalaman melalui kemajuan teknologi dan infrastruktur serta pembangunan bakat bagi menyediakan penyelesaian yang boleh dipercayai dan kos efektif kepada rakan kongsi dan pelanggan kami.
“Pencapaian ini juga meletakkan kami di hadapan dalam menyokong sasaran kerajaan berkaitan SAF di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus mengukuhkan komitmen kami terhadap keselamatan tenaga negara dan pertumbuhan industri,” katanya dalam kenyataan.
SAF ini akan digunakan untuk penerbangan harian MH2 Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke London pada waktu malam, bermula 1 hingga 16 September 2025, satu langkah nyata dalam mengintegrasikan SAF ke dalam operasi penerbangan biasa.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, Penerbangan Malaysia (MAG) berbangga memainkan peranan aktif dalam memajukan penerbangan mampan di Malaysia.
“Setiap penerbangan yang menggunakan SAF membuktikan bahawa penyahkarbonan dalam industri penerbangan bukan lagi sekadar impian masa depan, tetapi satu realiti yang boleh dicapai hari ini. Ia menunjukkan bahawa tindakan praktikal dan berskala boleh dilaksanakan sekarang untuk mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.
“Dalam masa yang sama, kerjasama kukuh merentasi industri penerbangan adalah penting untuk mempertingkatkan pengeluaran SAF supaya ia menjadi lebih meluas, mudah diakses dan mampu milik. MAG amat menggalakkan perkembangan ini dan kekal komited untuk menerajui inisiatif yang mempercepatkan penggunaan SAF, menyokong perjalanan Malaysia dan dunia ke arah masa depan penerbangan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian ini menegaskan kesediaan Petronas untuk menyediakan bekalan SAF yang berskala dan kos efektif di Malaysia, dengan keupayaan hujung ke hujung dari pemerolehan global dan pensijilan, kepada pencampuran dan pengedaran tempatan, semuanya mematuhi piawaian kelestarian antarabangsa yang ketat.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, pintu masuk utama negara, infrastruktur KLIA menyokong pertumbuhan SAF dan membantu industri penerbangan memenuhi keperluan CORSIA.
“Pengenalan SAF campuran tempatan di KLIA adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian kami. Kami komited untuk menerapkan pengurangan karbon dalam setiap aspek operasi lapangan terbang. Pencapaian KLIA memperoleh akreditasi Tahap 3 Pengurangan Karbon Lapangan Terbang daripada ACI mencerminkan kemajuan yang telah dicapai, dan kerjasama ini untuk membolehkan ketersediaan SAF mengukuhkan lagi peranan kami dalam menyokong syarikat penerbangan menyahkarbonkan operasi mereka.
“Bersama rakan-rakan industri, kami sedang membina ekosistem yang membolehkan lapangan terbang Malaysia berkembang secara mampan, menyumbang kepada aspirasi sifar bersih negara dan memastikan pintu masuk negara kekal berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya.-UTUSAN