Malaysia Oversight

Petronas adakan sesi libat urus aspek keselamatan paip gas

By MkiniBM in November 18, 2025 – Reading time 2 minute
Petronas adakan sesi libat urus aspek keselamatan paip gas


PARLIMEN | Pihak berkuasa tempatan akan terus bekerjasama dengan Petronas untuk mengadakan taklimat keselamatan dan latihan kecemasan kepada penduduk yang tinggal berhampiran paip gas, kata M Kulasegaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata sepanjang bulan ini sudah mengadakan dua sesi libat urus untuk penduduk di kawasan parlimen Rasah.

“Petronas akan melaksanakan latihan tindak balas kecemasan bersama pihak berkuasa tempatan, agensi keselamatan dan penduduk setempat bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan komuniti sentiasa terjamin.

“Latihan kecemasan ini bertujuan menguji keberkesanan pelan tindakan, melatih komuniti (termasuk sekolah dan agensi keselamatan) supaya peka dengan prosedur yang betul ketika berlaku sebarang insiden, dan memastikan koordinasi yang lancar antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

“Petronas juga merancang untuk mengadakan tiga lagi latihan kecemasan tahun ini, dan beberapa latihan lagi sudah dijadualkan untuk tahun depan,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan yang dibangkitkan Cha Kee Chin (PH-Rasah) dalam sesi kamar khas di Dewan Rakyat semalam.

Kulasegaran juga memaklumkan Petronas – sejak tiga tahun lalu – telah mengadakan lebih 80 aktiviti latihan kesedaran bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti, termasuk mewujudkan talian utama (hotline) respons kecemasan.

Katanya sejak awal tahun sebanyak 14 sesi libat urus komuniti dijalankan di seluruh negara dengan komuniti perumahan yang terletak sepanjang laluan paip gas Petronas.

Dia yang juga ahli parlimen Ipoh Barat menambah, jumlah panjang paip gas berkenaan ialah 2,675km dengan hanya 35km yang terletak dalam kawasan parlimen Rasah.

Terdahulu, Cha mempersoalkan sama ada mempunyai rancangan atau tidak untuk mengambil langkah lebih proaktif bagi mengelakkan kejadian sama berulang, susulan insiden letupan paip gas Petronas di Putra Heights pada April lalu.

Cha menegaskan sekurang-kurangnya lima kawasan perumahan dalam kawasannya terletak dalam lingkungan 5km dari paip gas Petronas dan penduduk menyuarakan kebimbangan serius.

Dia juga mengakui satu sesi libat urus telah diadakan di kawasannya pada 2 Nov lalu dengan penduduk mengemukakan soalan mengenai langkah pencegahan yang perlu diambil.

[Baca berita penuh]



Source link