Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah memfailkan petisyen bankrap terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berhubung ganti rugi dan kos perintah mahkamah berjumlah lebih RM400,000 yang masih belum dibayar.
Peguam Yeoh memberitahu Malaysiakini permohonan itu difailkan pada 9 Julai lalu dan pengurusan kes melalui e-review telah ditetapkan pada 15 Oktober ini.
Dia mengesahkan Kamarul, yang diperintahkan membayar RM400,000 sebagai ganti rugi serta RM80,000 sebagai kos selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei, tidak memohon penangguhan pelaksanaan sehingga bulan Julai.
“Dia tidak memohon penangguhan pelaksanaan pada hari keputusan (tetapi) hanya memfailkan permohonan itu pada Julai.

“Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan pada 28 bulan ini,” katanya.
Yeoh telah memfailkan saman fitnah terhadap Kamarul pada 2022, mendakwa dua hantaran Facebook pensyarah itu pada Mei 2017 telah memfitnahnya.
Hantaran Facebook Kamarul menuduh Yeoh menyalahgunakan kedudukan untuk menyebarkan Kristian melalui politiknya dan bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey membawa ‘agenda Kristian’.
Saman itu menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada defendan, Yeoh mendakwa kenyataan Kamarul bersifat menghina serta merupakan cubaan jahat dan serius untuk memfitnah dirinya.

Pada 29 Mei tahun ini, Hakim Aliza Sulaiman memutuskan Yeoh telah membuktikan hantaran Facebook Kamarul adalah fitnah.
Mahkamah menganugerahkan RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk bagi setiap hantaran kepada Yeoh, selain perintah injunksi melarang Kamarul, pekerja atau ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan yang dipertikaikan atau kenyataan serupa.
Mahkamah turut menganugerahkan RM80,000 kepada plaintif. Pada hari sama, Kamarul mengeluarkan kenyataan bahawa walaupun dia menghormati keputusan mahkamah, dia tidak bersetuju dengan dapatan tersebut dan akan memfailkan rayuan.
Menurut laporan FMT, peguam Sangeet Kaur Deo mendakwa Kamarul masih belum membayar ganti rugi dan kos tersebut walaupun banyak tuntutan dibuat untuk melaksanakan perintah mahkamah.
Selain petisyen bankrap dan permohonan Kamarul untuk menangguhkan pembayaran, Sangeet mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan 23 September ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan Kamarul terhadap keputusan mahkamah.