Malaysia Oversight

Petani didenda RM15,000 buat hantaran jelik di Facebook

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 2 minute
Petani didenda RM15,000 buat hantaran jelik di Facebook


Seorang petani didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan hantaran komen jelik berkaitan isu 3R (raja, agama dan kaum) menerusi Facebook miliknya, Feb lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding sebutan kes.

Mahkamah turut memerintahkan Mohammad Faisal dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menasihati Mohammad Faisal agar lebih berhati-hati kerana kesalahan berkenaan isu 3R boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kamu telah padam komen itu, tetapi tengok apa berlaku sekarang.

“Komen itu akan sentiasa ada walaupun kamu dah padam. Awak masih muda, perlu berfikir panjang,” kata Ahmad Fuad.

Terdahulu, Mohammad Faisal yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman minimum dengan alasan perlu menanggung tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab, memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Faisal didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan akaun Mohd Faisal Yusof di Facebook.

Hantaran tersebut dilakukan pada 12.40 pagi, 9 Feb lepas dan telah dilihat oleh MCMC pada 1.40 tengah hari tarikh yang sama di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Bernama



Source link