Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff membuat permohonan maaf di mahkamah kepada RSN Rayer, berhubung kenyataannya pada tahun 2023 yang mendakwa ahli parlimen Jelutong itu menyatakan DAP boleh bertahan tanpa sokongan pengundi Melayu dan India.
Fauzi mengakui kenyataan tersebut adalah berasaskan maklumat yang diperolehnya daripada beberapa individu susulan kejadian kebakaran di Solok Sungai Pinang pada 6 Jun 2023.
“Saya melakukan kesilapan dengan bergantung pada maklumat lisan yang tidak disahkan daripada individu yang sedang emosi pada masa itu.
“Saya gagal mengesahkan fakta dengan penduduk atau orang awam, yang membawa kepada kefahaman yang tidak tepat tentang kejadian itu,” katanya
Menurut Fauzi, permohonan maaf itu dibuat bagi menyelesaikan isu tersebut secara muktamad agar semua pihak dapat menumpukan perhatian kepada perkara lebih penting seperti pembangunan negara dan kebajikan rakyat, khususnya di Pulau Pinang.
“Untuk mengelakkan perkara ini berlarutan, saya memohon maaf secara ikhlas dan tanpa syarat kepada plaintif. Saya juga menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dibuat,” katanya.

Terdahulu, Rayer memfailkan saman fitnah terhadap Fauzi susulan dakwaan yang dibuat dalam satu ceramah yang disiarkan secara langsung di laman Facebook pemimpin PAS itu.
Dalam ceramah itu, Fauzi mendakwa Rayer marah kerana mangsa kebakaran di Solok Sungai Panjang diziarahi terlebih dahulu oleh wakil PAS, dan kemudiannya menuduh Rayer menyatakan bahawa DAP boleh terus maju tanpa sokongan pengundi Melayu dan India.
Fauzi mendakwa seorang pengundi memberitahunya bahawa Rayer dikatakan marah dengan pengundi Melayu dan India yang menyatakan niat untuk menarik sokongan kepada DAP.
Ketika mengulas permohonan maaf itu, Rayer berkata dia gembira kerana kebenaran akhirnya terbukti.
“Saya sangat gembira kerana telah terbukti di mahkamah bahawa saya tidak pernah diskriminasi terhadap sesiapa dalam kerja politik saya. Saya juga membuktikan bahawa DAP tidak pernah diskriminasi terhadap mana-mana kaum,” katanya kepada Malaysiakini.
PAS ingatkan ahli sahkan fakta
Ini bukan kali pertama pemimpin PAS diheret ke mahkamah atas kenyataan yang dikeluarkan mereka.
Antaranya pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa ahli parlimen PAS Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, bersalah melakukan fitnah terhadap pemimpin DAP.
Mahkamah pada masa itu memutuskan ucapan Siti Mastura yang mengaitkan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, dan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dibuat dengan niat jahat.
Mahkamah mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi global sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok, selain turut diarahkan membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif.
Pada Februari lalu, timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyeru pemimpin parti untuk mengesahkan fakta sebelum membuat kenyataan awam.
“Kami berisiko disaman secara peribadi dan perlu membayar ganti rugi. Parti juga berisiko (imejnya tercemar).
“Jadi semua pemimpin dan ahli mesti berhati-hati untuk memelihara imej PAS dan mempertahankan integriti kepimpinan parti,” katanya.