Beberapa peserta himpunan pro-Palestin semalam didakwa dihalang daripada memasuki Suria KLCC, apabila anggota keselamatan pusat beli-belah itu dikatakan menyasarkan mereka yang membawa bendera serta berpakaian dengan simbol Palestin.
Bekas ahli Parlimen, Tian Chua yang turut menyertai himpunan itu berkata selepas peserta bersurai, beberapa orang cuba masuk ke pusat beli-belah berkenaan.
Menurutnya, ada antara mereka memakai keffiyeh atau skaf Palestin manakala sebahagian lagi masih memegang plakad untuk himpunan tersebut, namun “dihalang” oleh beberapa pengawal keselamatan.
“Mereka (pengawal) beritahu peserta himpunan yang mereka tidak boleh memakai keffiyeh. Saya pergi berunding dengan pengawal keselamatan. Saya katakan mereka tiada kuasa untuk menghalang orang (berada dalam pusat beli-belah) hanya kerana pakaian,” kata Chua ketika dihubungi Malaysiakini.
“(Pengawal itu) mengganggu peserta himpunan. Malaysia tidak pernah mengharamkan sebarang simbol berkaitan Palestin, jadi bagaimana mereka boleh menghalang orang daripada masuk hanya kerana skaf mereka?” soalnya lagi.
Menegaskan bahawa pusat beli-belah adalah “ruang awam yang dikawal selia”, bekas naib presiden PKR itu berkata dia bertindak untuk campur tangan apabila seorang pengawal keselamatan cuba merampas bendera Palestin daripada seorang peserta wanita.
Dia kemudian diiringi keluar secara kasar oleh beberapa pengawal keselamatan lain, dakwanya.
Chua berkata dia akan menulis surat kepada pihak pengurusan Suria KLCC untuk mendapatkan penjelasan.
Malaysiakini juga sudah menghubungi pihak pengurusan Suria KLCC dan sedang menunggu maklum balas.
Ancaman boikot KLCC
Dalam satu video di Instagram mengenai insiden tersebut, Chua, 61, kelihatan bergelut dengan pengawal keselamatan di dalam pusat beli-belah. Suara kedengaran mengatakan dia perlu dibawa keluar kerana memegang “kayu”, merujuk kepada batang bendera.
Seorang wanita, dipercayai individu yang merakam kejadian itu, turut menjerit dalam bahasa Inggeris: “KLCC memalukan! Anda layan seorang orang tua hanya kerana dia pegang bendera! KLCC memalukan!”
Dalam kenyataan yang mengiringi video yang dimuat naik oleh kumpulan Malaysian Daily Protest for Palestine, mereka menggesa Suria KLCC untuk memohon maaf dan menjelaskan pendirian berhubung isu Palestin.
Mereka turut mengancam untuk melancarkan kempen boikot terhadap pusat beli-belah itu, selain mengeluh betapa insiden tersebut boleh dielakkan jika perbincangan diberi keutamaan berbanding tindakan kasar.
“Ini menimbulkan persoalan: adakah Suria KLCC, sebuah kompleks membeli-belah yang terletak betul-betul di bawah Menara Berkembar KLCC – kebanggaan Malaysia, dan negara yang terkenal dengan sokongan padu terhadap Palestin – sebenarnya mengambil pendirian pro-Zionis?” soal kumpulan itu.
Himpunan semalam diadakan bagi membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean 2025.
Terdahulu, sekumpulan 23 NGO menggesa kerajaan untuk membatalkan lawatan itu dengan menegaskan peranan Amerika Syarikat dalam genosid Israel terhadap Palestin bercanggah dengan pendirian moral Malaysia berhubung “malapetaka kemanusiaan” di Gaza.