Pesawat Tempur F/A-18 Hornet TUDM Terhempas Di Kuantan
Effi Saharudin
Sebuah pesawat tempur Boeing F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan pada jam 9.05 malam semalam. Video yang tular di media sosial menunjukkan letupan berlaku di bahagian enjin ketika pesawat sedang berlepas. Ia terbang selama beberapa saat dengan krew melentingkan diri daripada pesawat beberapa saat sebelum ia terhempas.
Juruterbang dan pegawai sistem senjata dilaporkan selamat dengan mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan lain dilaporkan kerana pesawat terhempas dalam kawasan lapangan terbang dan bukannya di kawasan perumahan awam berdekatan.
Ini ialah kali pertama pesawat F/A-18D milik TUDM terhempas sejak mula beroperasi pada tahun 1997. Insiden semalam menyebabkan Malaysia kini hanya mempunyai 6 F/A-18D, 18 Sukhoi Su-33MKM dan 12 BAE-200 yang masih beroperasi. Kementerian Pertahanan masih dalam proses membeli 32 pesawat F/A 18 C/D milik Tentera Diraja Kuwait bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Sedikit merisaukan awal tahun ini dua kemalangan melibatkan aset TUDM. Pada Mei lalu sebuah BAE Hawk 208 mengalami kerosakan selepas gear pendaratan rebah semasa mendarat di Alor Setar. Kemudian pada June pula gear pendaratan pesawat pengawasan maritim CN-235-220 rebah semasa melakukan pendaratan di Kuching.
Aset keselamatan negara khususnya TUDM sudah agak berusia dengan minggu ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata negara sedang mempertimbangkan pembelian pesawat tempur generasi ke-lima keluaran Amerika, Perancis, dan Rusia menjelang 2040 sekiranya proses pembelian F/A-18 C/D Kuwait tertanguh.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.