Malaysia Oversight

Pesawat Hornet TUDM terlibat kemalangan di pangkalan udara Kuantan

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 1 minute
Pesawat Hornet TUDM terlibat kemalangan di pangkalan udara Kuantan


Sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam satu insiden kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi.

Menurut kenyataan TUDM, pihaknya kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung kejadian berkenaan.

“Semua pihak diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Yahaya Othman yang mengesahkan insiden kemalangan berkenaan berkata seorang juruterbang serta pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.

Dia berkata insiden berkenaan berlaku ketika pesawat hendak berlepas dari landasan.

“Polis sahkan kejadian berkenaan dan juruterbang serta pembantu juruterbang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama

Dalam pada itu, rakaman video dikongsi orang awam di media sosial menunjukkan enjin pesawat terbabit mengalami kebakaran ketika berlepas.

TUDM memiliki lapan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dua enjin F/A-18D Hornet yang dibeli daripada Mcdonell Douglas (kini Boeing) dan diterima pada 1997.

-Bernama



Source link