Malaysia Oversight

Pesakit kanser, Cikgu E meninggal dunia

By Utusan in November 11, 2025 – Reading time 2 minute
Pesakit kanser, Cikgu E meninggal dunia


IPOH: Pesakit kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E yang tular dengan kisah perjuangannya melawan tiga jenis kanser, telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.

Perkhabaran duka tersebut dikongsikan melalui laman Facebook bekas guru dan usahawan itu sekitar pukul 4.45 petang tadi.

“Nassry Mardee Bin Ismail dah meninggalkan kita semua. Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan di kalangan orang yang beriman,” tulis hantaran berkenaan.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman sosial sama, pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Ansar, Meru dan Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Meru Raya.

“Abah dikafankan oleh ahli keluarga di Masjid Al-Ansar, Meru. Abah disembahyangkan di Masjid Al Ansar, Meru pada pukul 7.30 petang,” ujar hantaran itu.

Nassry Mardee, 45, disahkan menghidap barah buah pinggang pada Mac tahun lalu. Difahamkan, dia sebelum ini telah menjalani pembedahan membuang buah pinggang di sebelah kiri.

Bagaimanapun, penyakit kanser itu dipercayai telah merebak ke bahagian kelenjar sebelum menyerang paru-parunya yang kini berada di tahap empat. – UTUSAN





Source link