PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan peruntukan RM15 juta yang diumumkan kerajaan sebelum ini hanya dikhaskan untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027 skuad bola sepak kebangsaan.
Menurut beliau, dana berkenaan tidak boleh digunakan bagi tujuan lain termasuk membayar denda Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Peruntukan itu adalah khusus untuk kegunaan pasukan kebangsaan bagi kempen Piala Asia, bukan untuk perkara lain,” kata Hannah pada sidang akhbar di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Hannah menjelaskan, dana berkenaan diberikan kepada FAM dengan pemantauan rapi oleh Majlis Sukan Negara (MSN), KBS serta Kementerian Kewangan bagi memastikan ia dibelanjakan secara telus.
“Setiap perbelanjaan perlu dilaporkan kepada MSN dan turut dipantau oleh kementerian, jadi tidak timbul isu dana itu digunakan bagi tujuan lain,” katanya.
Sebelum ini, FAM menjadi tumpuan selepas dikenakan denda CHF350,000 (RM1.5 juta) oleh FIFA kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib berkaitan pemalsuan dokumen.
Rayuan FAM terhadap keputusan itu ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan kini badan induk itu berhasrat membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Hannah turut memaklumkan bahawa kos membawa kes ke CAS akan ditanggung sepenuhnya oleh pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bukannya daripada peruntukan kerajaan. – UTUSAN






