Sebanyak RM10 juta diumumkan sebagai peruntukan melalui Belanjawan 2026 untuk aktiviti pemetaan sumber nadir bumi diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menumpukan usaha ke arah membangunkan aktiviti hiliran termasuk melalui usaha sama antarabangsa yang diterajui Khazanah Nasional Bhd.
Kerajaan menyokong pembangunan aktiviti ekonomi di sempadan utara seperti Delapan di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam yang muncul sebagai hab pertumbuhan moden yang menghubungkan rantaian bekalan dan ekosistem digital ASEAN dengan pelaburan RM2.7 billion, kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM419.2 bilion.
Ketika membentangkan belanjawan itu di Parlimen petang Jumaat, Anwar berkata daripada jumlah tersebut, RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
– Bernama






