PKR Sabah tampil mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kritikan yang mendakwa kerajaan menyalurkan RM200 juta untuk Palestin tetapi hanya memperuntukkan RM10 juta bagi mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.
Perbandingan itu tular di media sosial, dengan sesetengah pihak mempersoalkan mengapa bantuan kemanusiaan di luar negara melebihi jumlah yang disalurkan kepada rakyat Sabah yang berdepan banjir besar.
Sekurang-kurangnya 14 orang maut dan ribuan lagi dipindahkan selepas lebih seminggu hujan lebat melumpuhkan sebahagian besar Sabah, memusnahkan rumah, memutuskan bekalan elektrik dan jalan utama di Penampang, Papar, Membakut, Sipitang serta beberapa daerah lain.
Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud berkata kritikan tersebut tidak adil kerana bencana kemanusiaan di Gaza adalah pada skala yang berbeza.

Dia menegaskan RM10 juta yang diumumkan Anwar di Doha hanyalah peruntukan awal daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan jumlah tambahan akan disalurkan selepas agensi persekutuan dan negeri selesai membuat penilaian teknikal.
“Semalam saya mengiringi Perdana Menteri ke kawasan terjejas.
“Beliau mengarahkan Jabatan Kerja Raya membuat penilaian segera, dan memberi jaminan bahawa proses tender akan dikecualikan daripada prosedur biasa,” kata Mustapha.
Mengenai isu Palestin, dia berkata Malaysia mesti dilihat memainkan peranan di pentas antarabangsa dalam menghadapi genosid yang sedang berlaku.
“Kanak-kanak dibunuh setiap hari. Jadi sudah tentu negara mesti dilihat memainkan peranannya, sama seperti yang dilakukan oleh Singapura dan Jepun.

“Tetapi itu tidak bermakna keperluan Sabah diabaikan. Perdana Menteri sudah menegaskan bahawa tuntutan Sabah akan dipenuhi,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu pada sidang media di pejabat kawasannya di Kota Kinabalu hari ini.
Warisan dibidas
Mustapha turut mengkritik parti pembangkang negeri, Warisan, dengan menuduh mereka tidak sensitif kerana menganjurkan program politik ketika mangsa sedang bergelut membersihkan lumpur di rumah mereka.
Menurutnya PKR mengalu-alukan semua pihak, termasuk Warisan, untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh.
Namun, Mustapha membidas tindakan Warisan yang menggunakan krisis tersebut untuk mengadakan acara bagi memperlekeh Anwar dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Itu yang kita kesalkan, bukannya bantuan. Jangan berpolitik melampau sampai hilang rasa hormat,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha turut menegaskan usaha cabang, sayap wanita dan sukarelawan pemuda PKR yang telah digerakkan untuk menyalurkan bantuan serta membersihkan kampung-kampung terjejas.
Dia berkata misi pertama sayap pemuda berjaya menyalurkan bantuan kepada lebih 200 isi rumah melibatkan 1,030 mangsa di Penampang, Papar, Kinarut dan Beaufort, manakala gelombang kedua seramai 200 sukarelawan kini membantu membersihkan rumah, masjid, surau, gereja dan rumah ibadat lain.
Mustapha menganggarkan setiap kawasan yang paling terjejas memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta bagi kerja-kerja pembaikan segera.
Agensi persekutuan dan negeri, termasuk Nadma serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, terus mengendalikan pusat pemindahan, menyambung semula bekalan utiliti dan membersihkan jalan-jalan yang terputus.