PM Anwar Ibrahim pastikan rundingan isu 40% hasil Sabah bermula segera di peringkat teknikal meskipun dalam tempoh pilihan raya negeri
KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai isu 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun semasa Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 berlangsung.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan proses rundingan itu tidak akan terjejas meskipun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara.
Beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.
“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya telah berjalan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjelaskan bahawa rundingan teknikal akan membincangkan kandungan penghakiman sebelum dirujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri.
Beliau menekankan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan semua isu termasuk tuntutan hasil dapat diselesaikan secara rasional.
“Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menyeru semua pihak mengekalkan semangat kesatuan dan perpaduan serta mengelak sentimen perkauman sempit.
“Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan,” tegasnya. – Bernama
Post Views: 1






