PARLIMEN l Mekanisme yang dikemas kini untuk wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tetapi mahu kewaganegaraan negara ini diberikan kepada anak mereka dijangka berkuat kuasa menjelang akhir tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini berikutan pindaan perlembagaan yang diluluskan pada Oktober tahun lalu.
“Menyusul pindaan, ada satu prasyarat, rukun yang mesti kita selesaikan dulu, sebelum kuatkuasa Peraturan Kewarganegaraan 1964.
“Ada 57 fasa di dalamnya yang perlu diteliti,” katanya semasa Waktu Soalan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai menjawap pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri).
Saifuddin berkata sebaik semakan selesai, kementerian juga perlu menjalankan proses perolehan dan mengemas kini borang permohonan untuk menyokong penyerahan dalam talian.
“Kalau di luar negara sekarang masih guna borang lama.
“Kita jangkakan kemaskini Peraturan Kewarganegaraan 1964 boleh kita selesaikan sekitar bulan September atau Oktober tahun ini..
“Lengkapkan borang… jangkakan tak lewati pertengahan atau hujung tahun depan, tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Aong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin juga memaklumkan Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan 1,980 permohonan kewarganegaraan dari tahun lepas sehingga kini di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
Ini melibatkan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dengan sekurang-kurangnya seorang ibu bapa adalah warga Malaysia pada masa kelahiran.
Menjawab soalan tambahan Mumtaz Mat Nawi (PN-Tumpat), Saifuddin menjelaskan bahawa perubahan akan datang tidak akan menjejaskan syarat sedia ada lain untuk memohon kerakyatan.
Mumtaz mencadangkan agar ujian DNA dijadikan satu keperluan, tetapi Saifuddin berkata ia akan kekal “hanya sebagai elemen sokongan” dan tidak wajib.
Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, B Nantha Kumar