GEORGE TOWN : Cadangan untuk membawa masuk jururawat asing khususnya dari Indonesia untuk bertugas di hospital-hospital di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah satu langkah yang perlu dipertimbangkan secara serius.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Mohd. Sophian Md Zain berkata, hal ini demikian kerana, kesan kemasukan itu terhadap ekonomi, rakyat dan negara ini akan menjadi sangat besar.
Beliau berkata, kebergantungan terhadap jururawat asing akan menyebabkan berlakunya pengaliran keluar wang negara kerana gaji yang dibayar kepada mereka kebanyakannya akan dihantar pulang ke negara asal.
“Langkah ini (kemasukan jururawat asing) juga akan mengecilkan peluang pekerjaan kepada jururawat tempatan terutamanya graduan baharu yang kini berdepan isu penempatan kerja dalam sektor kesihatan.
“Dari sudut rakyat pula, isu komunikasi, budaya dan perbezaan standard latihan berpotensi menjejaskan kualiti rawatan di hospital tempatan. Dalam hal ini, pesakit mungkin berhadapan dengan kesukaran dalam berkomunikasi yang akan menjejaskan pemahaman mereka terhadap rawatan yang diterima.
“Selain itu, rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat pasti timbul apabila melihat peluang pekerjaan profesional dalam perkhidmatan awam diberikan kepada warga asing sedangkan anak tempatan masih ramai yang menganggur,” katanya di sini, hari ini.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru sebelum ini mencadangkan agar satu kerjasama strategik dibuat bersama hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari negara itu berkhidmat di negara ini sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, langkah tersebut adalah situasi ‘menang-menang’ memandangkan ketika ini, kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.
Menurut Sigit, selain Johor, negeri di Malaysia yang mencatatkan bilangan pesakit Indonesia yang ramai adalah seperti Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta beberapa hospital di Sabah.
Dalam pada itu, Mohd. Sophian berkata, kemasukan jururawat asing untuk jangka panjang pula akan melemahkan kapasiti pembangunan tenaga tempatan dan membuka ruang lebih besar kepada warga asing untuk menuntut hak yang tidak sepatutnya termasuk dalam bidang pendidikan, pekerjaan serta mungkin kewarganegaraan.
Pada masa yang sama katanya, negara juga berisiko untuk kehilangan kawalan terhadap sistem kesihatan awam jika warga asing menguasai tenaga kerja dalam sektor tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, langkah berkenaan perlu diteliti dengan lebih bijaksana dan kerajaan juga seharusnya memperkukuhkan program latihan jururawat tempatan selain memastikan bahawa peluang pekerjaan dalam sektor kesihatan akan terus dinikmati oleh rakyat sendiri.
“Dalam hal ini, Malaysia tidak boleh terjebak dalam perangkap ‘menang-menang’ yang akhirnya hanya akan menguntungkan pihak luar sementara rakyat tempatan pula terus terpinggir dalam negara sendiri,” ujar beliau.-UTUSAN