KUALA LUMPUR: Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 dijangka menarik penyertaan lebih 350 peserta dengan 14 sesi perbincangan melibatkan 33 panel dari sektor awam dan swasta serantau bersempena kepengerusian negara dalam ASEAN tahun ini.
Persidangan julung kali itu dianjurkan pada 24 hingga 25 November ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).
Persidangan yang bertemakan “Transformasi E-Dagang ASEAN: Merapatkan Jurang, Meningkatkan Daya Saing”, menghimpunkan penggubal dasar, agensi kawal selia, pemain industri dan usahawan dalam talian dari seluruh ASEAN bagi membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau.
Antara syarikat yang menyokong penganjuran ini termasuk Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell selain penaja bersama lain.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen memperkukuh kepercayaan digital, mendorong inovasi serta memastikan pertumbuhan ekonomi digital inklusif di peringkat rantau.
“Persidangan ini juga menekankan aspek pengukuhan kawal selia perlindungan pengguna dan pembangunan ekosistem digital yang mampan selaras dengan aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang kini sedang dimuktamadkan.
“Penyertaan semua pihak penting dalam memperkukuh ekosistem digital serantau.
“KPDN kekal komited sebagai pemangkin kerjasama strategik, perlindungan pengguna dan pembangunan e-dagang yang mampan demi manfaat rakyat serta kesejahteraan serantau,” katanya semasa pra pelancaran persidangan itu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, fokus utama persidangan itu adalah mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakini, termasuk usaha memperkukuh perlindungan pengguna, menangani cabaran kawal selia rentas sempadan, isu cetak rompak digital serta penjualan barangan tiruan.
Selain itu, ia turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekosistem digital ASEAN dengan mempertingkat jaringan logistik, akses kewangan digital seperti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) serta memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui e-dagang.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai pendapatan tahunan sektor e-dagang mencatatkan RM1.23 trilion pada 2024, manakala bagi enam bulan pertama 2025 sahaja sudah mencapai RM625 bilion, iaitu RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, di peringkat serantau, laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company menunjukkan ekonomi digital ASEAN menjana pendapatan sebanyak AS$11 bilion (RM46.55 bilion) pada 2024, hampir tiga kali ganda berbanding 2022.
Nilai itu dijangka mencecah AS$1 trilion (RM4.23 trillion) menjelang 2030 dengan e-dagang menjadi sektor paling pesat berkembang, dengan unjuran pertumbuhan tahunan 22 peratus dan nilai dagangan kasar (GMV) sekitar AS$230 bilion (RM46.55 bilion) menjelang 2026. – UTUSAN