Malaysia Oversight

Persatuan gesa tangguh bina kafe di Gua Cenderawasih

By MkiniBM in May 3, 2025 – Reading time 3 minute
Persatuan gesa tangguh bina kafe di Gua Cenderawasih


Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) menggesa aktiviti pembinaan kafe di dalam Gua Cenderawasih di Kangar, Perlis, ditangguhkan sehingga kajian impak alam sekitar dan kajian teknikal oleh pakar geologi dapat dilaksanakan.

Dalam satu kenyataan, setiausaha persatuan itu, Mohd Aizat Zahid berkata, langkah itu bagi memastikan bahawa kesan jangka panjang terhadap warisan geologi dapat dikenal pasti dengan lebih jelas, selain mengambil langkah pemulihan jika perlu.

“Isu ini adalah satu cabaran besar kepada integriti dan pemeliharaan Geopark Perlis. Ia menimbulkan persoalan mengenai apakah kita benar-benar serius dalam memelihara warisan geologi negeri ini, atau adakah kita lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.

“Sebagai rakyat Perlis, kita perlu memastikan bahawa warisan geologi yang amat berharga ini dipelihara dengan sepenuh hati, bukan hanya untuk generasi kita, tetapi juga untuk generasi akan datang.

“Jika kita mahu Geopark Perlis diiktiraf di peringkat antarabangsa, kita mesti menunjukkan komitmen yang jitu terhadap pemeliharaan alam semula jadi dan mematuhi prinsip pembangunan yang mampan dan beretika,” katanya.

Gesaan itu merupakan antara penyelesaian yang dicadangkan bagi menangani isu berhubung pembinaan kafe di dalam gua itu yang menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Ganggu kestabilan struktur

Mohd Aizat Zahid berkata pembinaan kafe di dalam gua itu menimbulkan kebimbangan pencemaran geologi.

Tegasnya, tindakan mengubah atau merosakkan warisan semula jadi seperti mencemarkan atau mengecat formasi batu adalah satu kesalahan jenayah.

“Tindakan mengecat permukaan stalaktit dan stalagmit di dalam gua bukan sahaja menjejaskan rupa bentuk semula jadi, tetapi juga mengganggu proses geologi semula jadi pembentukan mineral kalsium karbonat.

“Sebarang kerosakan kepada formasi batu ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap ekosistem gua yang halus ini,” katanya.

Selain itu, Mohd Aizat berkata keselamatan dan keselesaan pengunjung juga menjadi kebimbangan yang perlu diberi perhatian.

Katanya, aktiviti manusia yang terlalu banyak di dalam gua boleh mengganggu kestabilan struktur batu dan mempengaruhi fauna dan flora yang hidup di dalamnya.

“Gua adalah ekosistem yang unik, yang dihuni oleh pelbagai spesies flora dan fauna yang khusus kepada persekitaran gua. Kehadiran manusia yang berlebihan, bersama dengan pencemaran yang mungkin disebabkan oleh pembinaan kafe, berisiko untuk mengganggu keseimbangan ekosistem tersebut,” katanya.

Makmal semula jadi

Mohd Aizat menekankan Gua Cenderawasih yang juga dikenali sebagai Gua Sami yang terletak di Bukit Lagi merupakan salah satu tapak geologi yang penting dalam Geopark Perlis yang baru sahaja memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada tahun 2023.

Menurutnya, tapak itu menggabungkan nilai saintifik yang tinggi, hasil formasi batu kapur yang berusia sekitar 480 juta tahun, yang menjadikannya antara formasi tertua di Asia Tenggara.

“Formasi stalaktit dan stalagmit yang indah dan unik, menjadikan gua ini bukan sekadar tapak pelancongan, tetapi juga makmal semula jadi penting bagi kajian sains bumi dan paleontologi,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dilapor berkata tindakan mengecat putih dinding Gua Cenderawasih bukanlah cubaan memusnahkan keindahan semula jadi lokasi itu, tetapi langkah menutup kata-kata kesat akibat vandalisme.

Menurutnya, pengusaha kafe yang menyewa kawasan gua itu hanya menggunakan cat kapur yang bersifat sementara dan boleh dihapuskan bagi menutup tulisan yang mencemarkan pemandangan dan mencalar imej negeri itu.

“Bayangkan kalau kita buka kafe, pelancong tengok perkataan tak senonoh dalam gua tu. Ini gambaran buruk terhadap budaya kita. Jadi pengusaha ambil inisiatif menutupnya,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Pada 22 April lalu, Utusan melaporkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth sebagai berkata bahawa struktur yang didirikan di gua itu adalah binaan sementara yang boleh dirobohkan pada bila-bila masa.

“Binaan struktur sementara itu juga adalah di bahagian luar gua dan tidak merosakkan ekosistem sedia ada.

“MPK juga menetapkan syarat kepada pengusaha kafe di mana mereka tidak dibenarkan memasak di dalam gua dan hanya boleh untuk penyediaan minuman,” katanya.

Affendi juga berkata, MPK memberi kelulusan bagi pengoperasian kafe di kawasan itu berikutan lokasi berkenaan sebelum ini sering terpalit dengan vandalisme, pembuangan najis dan budaya negatif lain.

“Selain dapat menarik pelancong ke kafe ini, kita juga boleh sama-sama dedahkan masyarakat dengan peninggalan sejarah kerana saya difahamkan kawasan ini mempunyai banyak fosil-fosil berusia ratusan juta tahun selain membantu mempromosikan kawasan geotapak itu,” katanya.



Source link