Nasib Perplexity adalah seperti jatuh ditimpa tangga, tukul dan atap rumah kerana hari ini tiba giliran mereka disaman pula oleh Encyclopedia Britannica dan Merriam-Webster. Ensiklopedia dan kamus terkemuka dunia ini menyaman Perplexity kerana didakwa menggunakan harta intelek tanpa kebenaran untuk memberikan jawapan kepada ciri carian internet yang ditawarkan.

Dengan penggunaan harta intelek tanpa kebenaran, Perplexity memesongkan trafik daripada laman Encyclopedia Britannica dan Merriam-Webster sekaligus mengakibatkan kerugian pada pendapatan. Saman juga mungkin difailkan kerana Perplexity ialah pesaing memandangkan kini ialah sebuah syarikat AI yang sedang membangunkan chatbot AI untuk tujuan pendidikan.
Perplexity mempunyai kemampuan memberikan jawapan terus kepada soalan diberikan pengguna dengan memberikan ringkasan pendek. Ia adalah ciri yang sama seperti Google AI Mode yang turut menerima kritikan daripada pengendali laman web yang semakin kehilangan trafik.
Saman yang difailkan Encyclopedia Britannica dan Merriam-Webster ke atas Perplexity adalah sama seperti yang difailkan News Corp serta beberapa akhbar Jepun kerana kandungan mereka digunakan tanpa kebenaran.