Malaysia Oversight

Perpaduan adalah kemenangan sebenar buat Pearly-Thinaah

By MkiniBM in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Perpaduan adalah kemenangan sebenar buat Pearly-Thinaah


Bagi pemain beregu wanita utama negara M. Thinaah, setiap kali melangkah ke gelanggang bersama gandingannya Pearly Tan bukan sekadar bermain badminton, sebaliknya menjadi peringatan hidup tentang kekuatan perpaduan dalam Malaysia yang berbilang kaum.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata meskipun berdepan tekanan dan cabaran di pentas antarabangsa, keupayaan mereka untuk saling menyokong dalam kejayaan mahupun kesukaran telah mengukuhkan lagi gandingan.

“Saya percaya sokongan positif dan dorongan antara satu sama lain benar-benar memberi perbezaan…sentiasa ada ketika saat senang dan sukar,” katanya kepada Bernama.

Thinaah berkata antara contoh jelas ikatan tersebut ialah ketika Sukan Olimpik Paris 2024 apabila gandingan mereka diuji, namun tidak pernah terlerai.

“Sudah tentu Olimpik 2024 di Paris. Kami melalui pelbagai suka duka, tetapi akhirnya kami tetap bersama dan terus menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Walaupun pulang tanpa pingat selepas tewas 11-21, 11-21 kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama–Chiharu Shida dalam perebutan gangsa, Pearly-Thinaah tetap melakar sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia mara ke separuh akhir Olimpik, mengatasi pencapaian Vivian Hoo–Woon Khe Wei di Rio 2016 yang mara ke suku akhir.

528b52a0baedc3e35fd68726a275e716

Thinaah menegaskan komunikasi dan persefahaman menjadi tunjang ketabahan mereka, ciri yang bukan sahaja meningkatkan mutu permainan malah mencerminkan semangat kebersamaan Malaysia.

“Mendengar dan berkomunikasi amat penting. Ia membolehkan kami berkongsi lebih banyak dan lebih memahami antara satu sama lain,” katanya.

Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, Thinaah percaya pengajaran daripada gandingan mereka boleh menjadi inspirasi kepada rakyat untuk merangkul kepelbagaian dan bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa.

Beliau berkata setiap kemenangan membawa makna kolektif, melangkaui dirinya dan Pearly, malah merangkumi jutaan rakyat Malaysia yang terus memberi sokongan.

“Perasaan luar biasa apabila seluruh Malaysia berada di belakang kami…itu yang memberi inspirasi untuk terus berjuang demi lebih banyak kemenangan,” katanya sambil berharap kisah mereka akan meninggalkan legasi yang memberi kesan jauh melangkaui gelanggang.

“Perpaduan adalah tentang sejauh mana kita mampu berkomunikasi dan memahami antara satu sama lain, tanpa mengira bangsa atau agama,” tambahnya.

Kini menduduki ranking kedua dunia, Pearly-Thinaah dianggap antara gandingan beregu wanita terbaik Malaysia.

Sejak meraih gelaran Jelajah Dunia pertama di Terbuka Switzerland 2021, mereka terus mengumpul tiga lagi kejuaraan iaitu Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024 dan Terbuka Thailand 2025, selain menjuarai pingat emas beregu wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

– Bernama



Source link