KUALA LUMPUR : Selebriti dan pereka fesyen, Karl Syafek, 45, mengakui pernah melalui kekecewaan dalam percintaan namun tidak menyebut siapakah bekas kekasihnya itu.
Menurut Karl atau nama sebenarnya Khairul Syafek Ibrahim, dia bagaimanapun enggan larut terlalu lama dengan perasaan tersebut dan memilih untuk mencurahkan segala emosi itu melalui karya dan rekaan busana.
“Sebenarnya saya puas hati dapat melempiaskan perasaan. Mungkin orang akan fikir yang saya ini patah hati tetapi sebenarnya ini adalah idea yang saya simpan sekian lama.
“Sebenarnya, saya akui pernah juga rasa kecewa tapi macam mana kita nak gambarkan perkara itu dengan cara berbeza.
“Saya percaya, kalau kita rasa kecewa, adakah kita kena asyik meroyan atau menangis sahaja? Bagi saya, kecewa ini bukan sekadar dalam perhubungan tetapi juga dalam kehidupan.
“Jadi ini (rekaan busana) adalah antara terapi untuk diri saya juga. Dalam erti kata lain, kalau ada kekecewaan yang pernah berlaku sebelum ini, saya curahkan dengan berkarya, melalui buat baju,”katanya.
Karl berkata demikian ketika ditemui di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 ( KLFW2025) di Suria KLCC, hari ini.
Selain itu, Karl juga percaya bahawa setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk merawat hati yang luka akibat kekecewaan.
“Saya rasa puas dengan mencurahkan daripada pengalaman saya. Sebab itulah, salah satu cara untuk kita merawat hati dan diri sendiri selain minta dari Tuhan,”katanya.
Sementara itu, mengulas koleksi terbaharunya yang dipentaskan di KLFW di bawah jenama Neonate, Karl berkata, tema yang diangkat ialah Love Story atau Kisah Cinta.
Kongsi Karl, koleksi ini menyelami sisi gelap perhubungan selepas kekecewaan, pengkhianatan dan kegagalan cinta.
“Koleksi ini adalah kisah tentang bagaimana seseorang bangkit semula sebagai individu yang lebih kuat dan bijak selepas dikhianati.
“Ia adalah refleksi terhadap luka lama yang membentuk siapa kita hari ini,” jelasnya.
Kekal dengan DNA streetwear yang menjadi identiti NEONATE, koleksi ini menggabungkan elemen majlis perkahwinan namun dalam tona yang lebih gelap, misteri dan menyentuh emosi.-UTUSAN