Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak permohonan kebenaran merayu dikemukakan kerajaan Kelantan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap tuntutan sebanyak RM1.2 juta oleh syarikat Laduni Services Sdn Bhd (Laduni Services).
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel tiga hakim terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Zabariah Mohd Yusoff dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Kes itu membabitkan pertikaian mengenai perjanjian perkhidmatan pengiklanan dalam pesawat dan livery pesawat.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memihak kepada kerajaan Kelantan dengan alasan bahawa perjanjian tersebut terbatal akibat doktrin kekecewaan di bawah Seksyen 57(2) Akta Kontrak 1950 berikutan kesan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Namun, Mahkamah Rayuan pada 17 Mac lalu mendapati kontrak tersebut tidak terbatal kerana semua kewajipan di bawah perjanjian telah disempurnakan sebelum PKP dikuatkuasakan.
Selain itu Mahkamah Rayuan turut memerintahkan kerajaan Kelantan membayar kos guaman sebanyak RM30,000 kepada Laduni Services.
Kerajaan Kelantan kemudiannya mengemukakan permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Syarikat itu diwakili peguam Raja Saidatul Akhma Raja Lope, manakala kerajaan Kelantan diwakili Adam Mohamed dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan.