Malaysia Oversight

Perlis perlu perkukuh jaringan kerjasama dengan negara jiran

By Utusan in September 11, 2025 – Reading time 2 minute
Perlis perlu perkukuh jaringan kerjasama dengan negara jiran


KANGAR: Perlis perlu memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau bukan sahaja bersama negeri-negeri lain di Malaysia malah turut diperkasa menerusi hubungan dengan negara jiran.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jalinan erat ini amat penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh keselamatan dan meneguhkan kedudukan negeri ini sebagai pintu gerbang Utara Malaysia.

Titah baginda, kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand turut membuka peluang luas dalam merancakkan sektor perdagangan dan pelaburan.

“Melalui tawaran insentif yang sesuai serta persekitaran mesra pelabur, Perlis sesungguhnya berpotensi muncul sebagai hab baharu bagi industri pertanian moden, sektor pelancongan dan perdagangan rentas sempadan,” titah baginda selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Makanan Perlis di Restoran Tainam Halal Seafood, Hatyai, Thailand.

Promosi makanan itu dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Majlis Agama Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), TTG Perlis dan Restoran Shamiza Mohd Noor.

Keberangkatan baginda disambut oleh pemilik restoran, Asareena Chaiyakul dan Korawit Yachamnanb.

Turut mengiringi baginda, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Ahmad Sarkawi.

Sementara itu, Ahmad berkata, semua rakyat Malaysia yang menetap untuk tempoh panjang di Selatan Thailand digalakkan mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Dalam sebarang situasi kecemasan seperti kemalangan, kehilangan pasport atau penahanan, segeralah menghubungi pihak Konsulat,” katanya.-UTUSAN





Source link