Malaysia Oversight

Perjanjian Malaysia perlu jadi lantai, bukan dinding desentralisasi

By MkiniBM in September 16, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


ULASAN | Kami berpegang bahawa gagasan Malaysia ialah sebuah projek yang berterusan dan kesinambungannya mesti diusahakan oleh setiap generasi demi memenuhi janji kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia dari Timur ke Barat, dari Sabah hingga ke Perlis.

Kami mengambil maklum bahawa ibu-ibu dan bapa-bapa pengasas negara pernah membincangkan keperluan sebuah perlembagaan persekutuan yang baharu, namun perkara ini tidak dapat direalisasikan kerana ketergesaan proses penyahjajahan/dekolonisasi untuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

Kami memahami persepsi yang semakin berkembang di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak bahawa pendekatan Persekutuan terhadap rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih mencerminkan sikap melengah-lengahkan dan bukan komitmen yang sebenar.

Kami ingin menegaskan beberapa fakta yang boleh memudahkan rundingan yang lebih baik bagi merealisasikan MA63.

Pertama, Persekutuan Tanah Melayu telah dibubarkan dengan pembentukan Malaysia untuk membolehkan 11 negerinya bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam persekutuan baru; maka Persekutuan dalam kedua-dua maksud perlembagaan dan politik tidak dapat berunding secara berkesan dengan Sabah dan Sarawak tanpa penglibatan serta sokongan daripada 11 negeri di Semenanjung.

Kedua, Malaysia bukanlah sebuah konfederasi terdiri daripada tiga wilayah, dan bukan juga sebuah persekutuan simetri (setangkup) terdiri daripada 13 negeri yang setara tanpa perbezaan. Sebaliknya, Malaysia ialah sebuah persekutuan asimetri (tidak setangkup) yang terdiri daripada dua wilayah (Sabah dan Sarawak), 11 negeri di Semenanjung, dan tiga Wilayah Persekutuan.

Namun, status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah khas tidak dinyatakan secara jelas dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sewaktu Malaysia ditubuhkan, malah selepas pindaan Perlembagaan pada tahun 2021 pun perkara ini masih tidak terserlah.

433c7a33656374a04c77ade588c98ff5

Ketiga, banyak negeri di Semenanjung juga mahukan desentralisasi dengan lebih kuasa perundangan, tanggungjawab eksekutif dan sumber kewangan. Negeri-negeri ini boleh berganding bahu dengan Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama merundingkan agenda desentralisasi nasional dengan Persekutuan, iaitu pemindahan lebih banyak kuasa kepada semua negeri sambil memastikan Sabah dan Sarawak sentiasa menikmati lebih kuasa berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Sehubungan itu, kami menyeru:

1. Supaya wujud pemikiran berani dan berpandangan jauh bahawa MA63 seharusnya menjadi lantai, bukannya dinding, kepada apa yang boleh dicapai dalam desentralisasi. Pakej desentralisasi yang lebih luas ini wajar dinamakan MA63+ kerana ia merangkumi apa yang terkandung dalam MA63 asal tetapi juga boleh menjangkauinya untuk merangkumi lebih banyak perkara, misalnya kuasa dalam bidang Pendidikan, Kesihatan, Buruh yang telah diberikan kepada Singapura tetapi tidak kepada Sabah atau Sarawak dalam MA63.

2. Supaya diadakan rundingan inklusif untuk mencapai MA63+ yang memerlukan, bukan sekadar konsesi pentadbiran atau pemindahan kuasa secara ad-hoc atas keputusan menteri, tetapi melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, khususnya namun tidak terhad kepada:

a. Perkara 1(2) untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak secara rasmi sebagai wilayah;

b. Perkara 45-46 mengenai peruntukan kerusi di Dewan Negara dan Dewan Rakyat;

c. Perkara 109-112D mengenai geran, cukai, yuran dan pinjaman kepada/untuk/oleh Negeri;

d. Perkara 116-117 mengenai pilihan raya persekutuan dan negeri;

e. Jadual Kelapan mengenai struktur asas perlembagaan negeri; dan

f. Jadual Kesembilan mengenai pengagihan kuasa antara Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

3. Supaya ditubuhkan Jawatankuasa Antara-Kerajaan 2.0 (Inter-Governmental Committee 2.0, IGC 2.0) yang melibatkan Kerajaan Persekutuan (1), Sabah dan Sarawak (2) serta negeri-negeri Semenanjung (11), dalam format 1+2+11, dengan perwakilan yang munasabah daripada pihak pembangkang di Parlimen dan Dewandewan Undangan Negeri, untuk merundingkan semula Perlembagaan.

4. Supaya Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah atau mana-mana Menteri Besar/Ketua Menteri lain memulakan perbincangan antara-negeri melalui sidang kemuncak 2+11 Premier/MB/KM bagi membina konsensus mengenai MA63+ sebelum dibentangkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Sempena ulang tahun ke-62 penubuhan Malaysia ini, marilah kita mengakui bahawa negara kita masih dalam proses pembinaan, dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan, wilayah dan negeri-negeri tidak terlepas daripada kelemahan. Apa yang kita perlukan sekarang ialah keberanian dan kejujuran untuk memperkukuhkan hubungan ini, agar bersama-sama kita dapat membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, lebih bersatu padu, dan lebih makmur untuk generasi akan datang.

Selamat Hari Malaysia!


Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh:

Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA)
Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih)
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS)
Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas Dan Saksama (Tindak)
Rise of Social Efforts (ROSE)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link