By MkiniBM in October 31, 2025 – Reading time 3 minute
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyuarakan kebimbangan terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Amerika Syarikat dan Malaysia, dengan mendakwa perjanjian itu berat sebelah dan berpotensi menjejaskan dasar perdagangan serta hubungan serantau Malaysia.
Timbalan Pengarah Penyelidikan Ideas, Dr Stewart Nixon, berkata walaupun perjanjian itu digambarkan sebagai kerjasama rakan setara, ia “sebenarnya mewajibkan hanya Malaysia membuat komitmen dasar yang substantif, sementara Amerika Syarikat mengekalkan sepenuhnya keanjalan dalam dasar perdagangannya.”
“Malaysia selama ini mendapat manfaat daripada perdagangan dan pelaburan terbuka serta dasar luar berasaskan pemusatan Asean dan sikap berkecuali. Perjanjian ini menimbulkan persoalan besar tentang kesinambungan dasar ekonomi dan luar negara kerana ia secara jelas mengikat dasar perdagangan dan pelaburan Malaysia kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat.
“Malaysia diwajibkan mengenakan sekatan setara terhadap negara ketiga yang disasarkan oleh Amerika atas alasan keselamatan negara, yang secara langsung mengancam rantaian bekalan melibatkan China.
“Malaysia juga perlu mengambil tindakan perlindungan terhadap perniagaan berpangkalan di Malaysia milik negara ketiga sekiranya aktiviti mereka menjejaskan daya saing perniagaan Amerika Syarikat di Malaysia atau di Amerika Syarikat sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Stewart berkata ART juga mengehadkan keupayaan Malaysia membentuk perkongsian perdagangan lebih luas kerana mengikat dasar perdagangan dan pelaburan masa hadapan kepada kepentingan strategik AS.
“Walaupun Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengejar perjanjian dua hala dengan Washington, langkah ini telah mengutamakan kepentingan individu berbanding kepentingan kolektif, serta mengalihkan sumber diplomatik daripada usaha memperkukuh perkongsian lebih mendalam dengan negara yang lebih sejajar dengan kepentingan pembangunan ekonomi Malaysia.
“Kepimpinan cemerlang Malaysia dalam Asean tahun ini sedikit tercalar oleh perjanjian yang mencabar pemusatan Asean dan menjejaskan rakan serantau yang tidak mempunyai platform atau sumber untuk berunding sendiri, atau memilih untuk tidak menandatangani perjanjian yang berat sebelah sebegini,” katanya.
Tambahnya, Malaysia telah menghapuskan tarif terhadap import dari AS, tetapi jumlahnya kecil, manakala lebih banyak konsesi dibuat dalam aspek lain perjanjian.
“Konsesi tersebut mengekalkan tarif sebanyak 19 peratus ke atas pelbagai barangan eksport yang sebelum ini tidak dikenakan tarif sebelum Trump menjadi presiden. Ini termasuk barangan yang kini diraikan sebagai berkadar sifar di bawah ART.
“Lebih membimbangkan, tiada jaminan bahawa komitmen akses pasaran ini akan kekal sebagaimana dipersetujui, jika tarif baharu terhadap semikonduktor dikenakan kepada Malaysia pada masa hadapan, semua keuntungan yang dijangka daripada ART akan terhapus.
“Pada dasarnya, perjanjian ini tidak melalui proses pertanggungjawaban awam, menjejaskan kepentingan ekonomi serantau dan dunia Malaysia, serta mengikat dasar ekonomi negara kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat sambil mengesahkan tarif 19 peratus ke atas kebanyakan eksport Malaysia,” katanya.
Perjanjian ART ditandatangani pada 26 Oktober lepas oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump, ketika kunjungan Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.
Pembangkang mengkritik perjanjian itu dengan mendakwa ia menjejaskan kedaulatan dan mengehadkan hak negara untuk membuat keputusan secara bebas apabila memaksa Malaysia mematuhi peraturan ditetapkan oleh AS dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perundangan.
Bagaimanapun kerajaan menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan Malaysia berpegang teguh kepada prinsip berkecuali dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus dilindungi dalam memuktamadkan perjanjian berkenaan.