Malaysia Oversight

Perintah papar harga ubat berkuat kuasa hari ini, MMA rancang protes

By MkiniBM in May 1, 2025 – Reading time 3 minute
Perintah papar harga ubat berkuat kuasa hari ini, MMA rancang protes


Arahan yang mewajibkan kemudahan penjagaan kesihatan swasta untuk memaparkan harga ubat berkuat kuasa hari ini, sebagai langkah yang bertujuan membantu pesakit membuat pilihan yang lebih baik dan secara bermaklumat.

Bagaimanapun, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menentang keras langkah itu dan merancang untuk mengadakan protes besar-besaran minggu depan.

Perintah itu dikuatkuasakan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut kenyataan bersama dua kementerian berkenaan, bagi ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter dan tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna, hendaklah dipaparkan senarai harga jualan sama ada dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, berkata mekanisme ketelusan harga itu untuk membantu pesakit membuat pilihan bermaklumat, termasuk membandingkan harga ubat. 

Perintah itu telah diwartakan oleh Armizan pada Selasa lalu dan diumumkan semalam. Kegagalan mematuhinya boleh dikenakan denda sehingga RM100,000. 

Bagaimanapun, Dzulkefly dan Armizan berkata bagi tempoh tiga bulan pertama, penguatkuasaan akan tertumpu kepada advokasi bagi membolehkan fasiliti kesihatan membuat pelarasan secara beransur-ansur.

‘Beribu klinik berisiko ditutup’

Mengulas langkah itu, MMA berkata penjualan ubat adalah membantu klinik untuk terus beroperasi, terutamanya apabila yuran pengamal am (GP) tidak disemak selama 33 tahun.

Laporan analisis kos dan faedah yang dijalankan oleh KKM dan Perbadanan Produktiviti Malaysia pada 2021 menyatakan jika klinik tidak dapat mengaut keuntungan daripada ubat, ia boleh mengakibatkan sehingga 2,600 klinik ditutup. 

0527f51d711ee7bd566fc6bf24ccc151
Dzulkefly Ahmad

Menurut laporan itu, ia boleh mengurangkan akses penjagaan kesihatan terhadap golongan B40, terutama yang tinggal di luar bandar.

Ia juga menyatakan menjelang 2037, sehingga 136,000 pekerja penjagaan kesihatan swasta mungkin mengalami pemotongan gaji, gaji tidak berubah, atau kehilangan pekerjaan. 

Memetik laporan itu, bekas menteri kesihatan Dr S Subramaniam memberi amaran bahawa mungkin akan ada kesan serius jika KKM meneruskan tindakan penguatkuasaan itu.

“Ini (penutupan klinik) bukan sekadar angka – ia mencerminkan asas sistem penjagaan kesihatan utama kita,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semak semula yuran GP

Subramaniam juga berkata pembaharuan dalam yuran perundingan GP perlu dibuat terlebih dahulu.

“Model pembiayaan penjagaan kesihatan Malaysia memerlukan penilaian semula secara meluas dan struktur.

“Cadangan seperti paparan wajib harga ubat harus menjadi sebahagian daripada agenda reformasi yang komprehensif – bukan diperkenalkan secara berasingan.

“Hanya melalui pembaharuan yang padu dan bersepadu dengan baik kita dapat memastikan kemampanan, keadilan dan kesaksamaan merentas kedua-dua sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta,” tambah Subramaniam. 

99bf2798b2cac3e18fb150fff2d26087
Dr S Subramaniam

Sementara itu, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan MMA akan menganjurkan demonstrasi pada 6 Mei, dengan perarakan dari bangunan KKM ke Pejabat Perdana Menteri di .

Presiden MMA Dr Kalwinder Singh Khaira mendakwa dalam pertemuan dengan pengamal kesihatan pada Februari lalu, Dzulkefly telah berjanji bahawa ketelusan harga hanya akan dilaksanakan selepas yuran GP dikaji semula. 

“Malang dan menyedihkan, komitmen ini tidak dihormati,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Dia berkata KKM juga tidak melibatkan MMA untuk membincangkan kebimbangan persatuan itu.

“MMA telah menunggu dengan sabar dan menyertai libat urus dengan niat baik, tetapi keputusan untuk meneruskan secara unilateral pelaksanaan paparan harga ubat tanpa libat urus dan menjawab kebimbangan persatuan perubatan adalah mengecewakan dan membimbangkan,” tambahnya.

Persatuan Pergigian Malaysia juga menyatakan solidariti dengan MMA. 

Bagaimanapun, mereka telah mengarahkan ahlinya untuk mematuhi perintah paparan harga buat masa ini.



Source link