Menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu ini, Tun Faisal Ismail Aziz berkata ucapan dasar presiden, Muhyiddin Yassin akan menjadi platform penting untuk memperkukuh imej parti itu sebagai alternatif kepada kerajaan sekarang.
Dengan tema “Bersatu Menuju Kejayaan”, Ketua Penerangan Bersatu itu berkata ucapan dasar presiden juga akan mencerminkan hasrat memperkukuh kesatuan dalam parti dan gabungan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Ucapan dasar Presiden dalam PAT 2025 sudah pasti akan menekankan bagaimana kesatuan, bersatu hati dan tindakan, sama ada dalam parti, bersama PN, mahupun suara protes rakyat terhadap Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan kerajaan.
“Ia juga akan menjadi asas ke arah kejayaan, bukan sahaja dalam PRN dan PRU16, tetapi juga dalam memperbetulkan kesilapan serta kegagalan kerajaan hari ini dan mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul,” katanya kepada Malaysiakini.

Tun Faisal menjangkakan antara isu utama yang akan disentuh Muhyiddin adalah isu kos sara hidup yang terus mencengkam rakyat, kegagalan kerajaan mengurus ekonomi dan kewangan negara secara berkesan, serta kelemahan dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.
Menolak tanggapan pembangkang hanya tahu mengkritik, Tun Faisal menegaskan ucapan Muhyiddin akan membawa gagasan penyelesaian, berasaskan rekod pentadbiran Bersatu dan PN sebelum ini.
“Pengalaman Bersatu dan PN (ketika Covid-19) membuktikan kemampuan menangani krisis dan memulihkan keadaan rakyat serta negara dalam masa singkat. Sebaliknya, Anwar terus gagal menunaikan janji, termasuk janji reformasi,” katanya lagi.
PAT2025 dijadual berlangsung hujung minggu ini dan dilihat bakal menjadi medan untuk Bersatu mengatur semula langkah menuju PRU16.
Ia akan berlangsung pada 6 hingga 7 September ini di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam dan akan disertai kira-kira 2,555 perwakilan dari 202 bahagian seluruh negara.
Mengimbau sejarah penubuhan Bersatu, Tun Faisal berkata Bersatu dilahirkan atas semangat menentang kleptokrasi, sesuatu yang perlu sentiasa diingat oleh ahli parti.
Pada masa sama, katanya lagi, Umno yang kini sebahagian daripada kerajaan terus dibelenggu kepimpinan yang disifatkannya sebagai korup dan mengkhianati pengundi.
“Presiden dan Bersatu kekal berprinsip, inklusif dan prihatin kepada rakyat. Tidak seperti Umno yang penuh penipuan dan pengkhianatan, mereka adalah sebahagian dari kerajaan yang gagal hari ini,” katanya yang dahulu merupakan pemimpin Umno.
Membandingkan dengan kerajaan hari ini, dia berkata PN, sepanjang tempoh singkat mentadbir, berjaya menstabilkan negara semasa krisis Covid-19.
“(Namun) Hari ini rakyat terus terbeban dengan krisis ekonomi, kewangan, hutang dan kos sara hidup – semuanya berlaku walaupun Anwar mula mentadbir dalam keadaan stabil tanpa krisis besar,” dakwanya lagi.
Cabaran untuk Bersatu
Namun, di sebalik nada optimistik itu, penganalisis politik melihat PAT2025 sebagai ujian litmus terhadap keupayaan Bersatu untuk kekal relevan, bukan sahaja dalam PN, malah dalam landskap politik Melayu-Islam yang semakin kompetitif.
Jamaie Hamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggariskan tiga perkara utama yang menjadi cabaran kepada Bersatu dalam PAT kali ini.
Pertama, katanya, ialah untuk meyakinkan ahli dan rakyat bahawa Muhyiddin masih relevan dan mampu menjadi pemimpin utama gabungan tersebut.
“Ada spekulasi tentang kesihatan Muhyiddin dan juga persoalan sama ada dia masih boleh menjadi tokoh penyatu dalam Bersatu yang kini mempunyai sejumlah kumpulan dalaman,” jelas Jamaie kepada Malaysiakini.
Cabaran kedua adalah berhubung keupayaan Bersatu untuk mengekalkan kedudukannya sebagai teras PN, di saat PAS memiliki jumlah kerusi Parlimen yang lebih besar, katanya.
Dia juga melihat PAS kini mula mempertimbang calon Perdana Menteri dari dalam parti itu sendiri.
“Bersatu harus membuktikan mereka masih memiliki clout untuk mengetuai gabungan, bukan sekadar mengikut rentak PAS,” tambahnya.
Cabaran ketiga pula, katanya lagi, adalah isu “broker dalaman” yang didakwa melibatkan pemimpin dari dalam Bersatu sendiri.

Justeru, kata Jamaie, PAT2025 bakal menentukan bagaimana Bersatu mahu memposisikan parti itu berbanding PAS, dan juga Umno, menjelang PRU16.
“Mereka (Bersatu) harus berhati-hati dalam membuat keputusan sehingga tidak menyebabkan PAS menarik diri daripada PN.
“Bagaimanapun, jika itu berlaku disebabkan keputusan-keputusan yang dibuat dalam PAT 2025 tak disenangi PAS, maka Bersatu akan menerima bala yang lebih besar.
“Maknanya, kalau PAS tidak bersama dengan Bersatu dalam PRU16, Bersatu akan hancur.
“Sebab itu Bersatu harus berhati-hati dalam membuat keputusan besar yang berkaitan PAS agar mereka kekal relevan untuk menyaingi Umno dalam PRU akan datang,” katanya lagi.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ariff Aizuddin Azlan menyifatkan PAT2025 sebagai peluang terakhir untuk Bersatu membentuk naratif alternatif yang benar-benar mampu menyaingi kerajaan.
“Sehingga kini, saya melihat Bersatu masih lagi sukar untuk membawa agenda sebenar parti itu jika terpilih menjadi kerajaan di dalam PRU akan datang.“
“Ini kerana sebahagian besar masih lagi menantikan apakah naratif yang boleh ditawarkan oleh Bersatu sehingga boleh menjadi alternatif yang akan menggantikan naratif versi kerajaan perpaduan.
“Ia adalah hal yang perlu dibimbangkan kerana sebagai parti pembangkang, Bersatu perlu lebih terkedapan dari segi idea,” katanya lagi.
Ariff juga berpandangan jika Bersatu gagal menonjolkan idea yang segar, ia akan terus bergantung kepada kemarahan rakyat terhadap kerajaan semasa semata-mata.