Malaysia Oversight

Perdagangan Malaysia naik 3.8 peratus bagi tempoh setakat Ogos

By Utusan in September 19, 2025 – Reading time 2 minute
Perdagangan Malaysia naik 3.8 peratus bagi tempoh setakat Ogos


PETALING JAYA: Perdagangan meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.977 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, manakala eksport naik 3.9 peratus kepada RM1.032 trilion, melepasi paras RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding pada 2024. 

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, import pula mengembang 3.6 peratus kepada RM945.62 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM86.07 bilion.

“Bagi Ogos 2025, perdagangan menyusut 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM247.07 bilion, berikutan perubahan landskap perdagangan global, walaupun eksport meningkat untuk dua bulan berturut-turut sebanyak 1.9 peratus kepada RM131.6 bilion. 

“Walau bagaimanapun import mengurang sebanyak 5.9 peratus kepada RM115.47 bilion. 

“Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.13 bilion, yang ke-64 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020, peningkatan sebanyak 153.8 peratus berbanding Ogos 2024,” katanya dalam kenyataan. 

Matrade berkata, pertumbuhan eksport pada Ogos 2025 dipacu oleh prestasi yang kukuh bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian. 

“Eksport keluaran pertanian pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada Julai 2025. 

“Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E), diikuti oleh jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optik dan saintifik serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. 

“Lebih memberangsangkan, eksport barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai tertinggi setakat ini,” ujarnya. 

Bagaimanapun, Matrade mengalakkan para pengeksport menambah baik dan mempelbagaikan penawaran produk, serta memperkukuh kecekapan rantaian bekalan bagi mengurangkan kesan peralihan akibat perubahan dasar perdagangan dan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global.

“Ini disebabkan sementara prestasi perdagangan keseluruhan Malaysia kekal kukuh bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.

“Pengeksport juga digalakkan untuk memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas yang telah diratifikasi oleh Malaysia dengan pelbagai negara dan ekonomi,” katanya. -UTUSAN

 





Source link