Malaysia Oversight

‘Perbualan telefon Najib, Bakke tak pengaruhi usahasama 1MDB-PSI’

By MkiniBM in October 23, 2025 – Reading time 3 minute
'Perbualan telefon Najib, Bakke tak pengaruhi usahasama 1MDB-PSI'


Perbualan telefon di antara dan bekas Pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh, tidak mempengaruhi keputusan syarikat itu untuk menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata, perlakuan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB menunjukkan bahawa mereka sudah berminat untuk mengadakan usaha sama tersebut sebelum panggilan telefon di antara Najib dan Mohd Bakke berlaku.

“Hal ini kerana rekod semasa juga menunjukkan bahawa mereka sedang mengambil langkah proaktif untuk memuktamad dan merealisasikan kerjasama dengan PSI, termasuk pelantikan wakil korporat dan pembukaan akaun bank bersama.

“Persoalannya, jika BOD diarah untuk menjalinkan usaha sama dengan PSI oleh perdana menteri sendiri, mana mungkin mereka berani mengenakan syarat dan prasyarat sebelum bersetuju, yang pada akhirnya melambatkan perkara ini?” hujah peguam itu pada perbicaraan Najib yang didakwa melakukan penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pada prosiding sebelum ini, keterangan yang dikemuka menunjukkan panggilan telefon dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho – atau Jho Low – kepada Najib yang bertanya jika dia akan bercakap dengan Mohd Bakke sebelum mesyuarat khas BOD 1MDB pada 26 Sept 2009 mengenai inisiatif dengan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Wan Azwan Aiman juga berkata meskipun Mohd Bakke menegaskan usaha sama itu tidak akan diteruskan tanpa perbualan telefon tersebut, Notis Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 25 Sept 2009 menunjukkan sebaliknya kerana mesyuarat itu diadakan khusus untuk meluluskan usaha sama dengan PSI.

Pihak pembelaan sedang berhujah berkaitan pertuduhan pertama terhadap Najib di bawah Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mendakwa dia mengarahkan BOD 1MDB semasa mesyuarat khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya untuk meluluskan satu resolusi yang membenarkan 1MDB menyertai usaha sama dengan PSI melalui langganan RM1 bilion saham biasa dalam syarikat tersebut pada harga AS$1 sesaham.

Pada 6 Mei lalu pihak pembelaan Najib menutup kesnya selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 12 Okt untuk hujahan lisan.

Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 susulan sabitan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022 telah menyaksikan hukuman penjara beliau dikurangkan kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Perbicaraan bersambung esok.

Bernama



Source link