Bekas PM Muhyiddin Yassin akan dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM432.5 juta mulai 9 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram akan bermula pada 9 Mac 2026.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan 29 hari untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini.
Tarikh perbicaraan merangkumi 9 hingga 11 Mac, 13, 16, 28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, serta beberapa tarikh pada Julai dan Ogos 2026.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam Muhyiddin mencapai kata sepakat mengenai jadual tersebut.
Mahkamah menetapkan sebutan kes seterusnya pada 27 November ini.
Sementara itu, permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport sementara akan didengar pada 18 November.
Muhyiddin tidak hadir pada prosiding hari ini setelah diberikan pengecualian oleh mahkamah.
Pendakwaan akan memanggil kira-kira 30 saksi dalam kes ini.
Pada 22 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin untuk menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya.
Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta.
Wang tersebut didakwa dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu antara Februari 2021 dan Julai 2022. – Bernama
Post Views: 1






