Parlimen memperkenalkan peraturan baru bagi mengawal interaksi antara pihak media dan Ahli Parlimen (MP).
Menurut garis panduan terbaru yang dikeluarkan, pengamal media kini tidak dibenarkan melakukan tembubual dengan Ahli Parlimen tanpa kebenaran (doorstep interview).
Doorstopping – yang kebiasaannya dilakukan secara spontan – merupakan salah satu cara utama wartawan menyoal ahli Parlimen mengenai isu semasa.
Sementara itu, akses ke kawasan sidang media di bilik media Parlimen juga kini dihadkan.
Garis panduan itu menyebut bahawa mereka yang ingin menggunakan ruang berkenaan mesti mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.
Pada awalnya garis panduan itu menyatakan permohonan perlu dikemukakan sekurang-kurangnya dua hari bekerja sebelum tarikh penggunaan, namun kemudian tempoh itu dipendekkan kepada dua jam sahaja.
Hanya mereka yang mempunyai permohonan lengkap dan mendapat kelulusan dibenarkan menggunakan ruang tersebut.
Susulan itu Wan Saiful Wan Jan (Bebas-Tasek Gelugor) mempersoalkan peraturan baru tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, walaupun ia dibuat dengan niat baik, jika Ahli Parlimen perlu mendapatkan kebenaran untuk menggunakan pusat media, ini boleh dianggap sebagai sekatan terhadap hak mereka untuk bersuara.

“”Sebaik-baiknya tak ada yang kekang kebolehan ahli parlimen, (peraturan ini) tak perlu dalam demokrasi yang semakin matang di Malaysia,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor – yang mempengerusikan sidang pada ketika itu berkata dia juga baru mengetahui peraturan baru itu hari ini, dan oleh itu tidak dapat memberi sebarang komen.
Terdahulu, Pengerusi Bersih, Faisal Azis, melalui beberapa hantaran di X, turut menyuarakan kebimbangan mengenai peraturan baru pusat media itu dengan mengatakan io boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk kekangan terhadap kebebasan bersuara, khususnya di kalangan ahli parlimen.
Ini bukan kali pertama pengamal media menghadapi cabaran di Parlimen.
Sejak 2017, Parlimen secara berkala menyekat pengamal media daripada berada di lobi Parlimen, sekali gus mengehadkan peluang mereka untuk menyoal ahli parlimen.
Pada Okt 2023, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata dia akan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, supaya media dibenarkan kembali ke lobi untuk menemubual ahli parlimen.
Namun, peraturan baru terhadap doorstopping melarang amalan sedemikian sekali lagi.






