MIC hari ini mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mendakwa penceramah bebas, Zamri Vinoth dan Firdaus Wong sambil mengingatkan bahawa prinsip 3R (agama, kaum dan raja-raja) bukan hanya untuk satu agama.
Presidennya, SA Vigneswaran, berkata prinsip 3R wujud untuk memelihara keharmonian agama, ketenteraman awam dan perpaduan sosial merentasi semua komuniti di Malaysia.
“Diam secara berpilih bukanlah suatu bentuk berkecuali, ia adalah suatu bentuk subahat.
“Jika prinsip 3R mempunyai makna dalam Malaysia hari ini, ia mesti digunakan terhadap semua agama (kepercayaan) secara adil, tegas dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata AGC memutuskan untuk tidak mendakwa Zamri dan Firdaus kerana kekurangan bukti.
Azalinamenjelaskan, AGC membuat kesimpulan itu selepas polis menyerahkan kertas siasatan terhadap kedua-dua individu terbabit untuk dipertimbangkan.
“Berdasarkan maklum balas daripada AGC, terdapat kekurangan bukti untuk membuktikan elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang untuk mendakwa kedua-dua individu tersebut di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Vigneswaran berkata peraturan 3R hanya dikuatkuasakan apabila kaum atau agama tertentu yang terkesan, dan pada masa sama nasib komuniti lain terabai.
Desak kerajaan lebih berani
Sikap sebegitu, katanya, mencerminkan dasar pilih kasih yang berbahaya dan tidak boleh diterima.
“Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, penguatkuasaan secara berpilih bukan sahaja bertentangan dengan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tetapi turut menjejaskan keyakinan awam terhadap keadilan dan kredibiliti sistem perundangan kita,” tambah bekas Presiden Dewan Negara itu.
Menyentuh kes Zamri, Vigneswaran berkata hantaran Facebook yang berunsur hasutan itu dibuat secara terbuka dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
“Sukar diterima akal bahawa kelakuan seperti itu tidak mencapai tahap kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan 1948,” katanya.
Menyelar AGC, dia berkata jabatan itu perlu memberi penjelasan atas keputusan tersebut kerana ia dilihat kurang telus dan boleh dianggap berat sebelah.

Vigneswaran juga mengingatkan pihak berkuasa bahawa keputusan untuk mendakwa sseorang bukan semata-mata untuk menghukum individu, tetapi juga menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.
“Kegagalan untuk bertindak hanya akan memberi galakan kepada pihak lain untuk mengulangi tindakan yang sama, dengan keyakinan bahawa provokasi agama tidak akan dihukum jika mereka menyasarkan kepercayaan golongan minoriti.
“Ini menimbulkan kemarahan, rasa tidak selamat dan potensi pergolakan – akibat pengabaian prinsip 3R itu sendiri,” kata Vigneswaran.
Pada kemuncak kontroversi berhubung pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur, Zamri menggambarkan jawatankuasa kuil tersebut sebagai individu yang telah “mencuri” tanah untuk kegunaan kuil berkenaan.

Dia juga sebelum itu menyamakan pembawa kavadi sempena Thaipusam dengan individu yang dirasuk dan berada dalam keadaan khayal.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan awam dan membawa kepada sebanyak 894 laporan polis dibuat terhadapnya.
Sementara itu, NGO Malaysia Hindhudharma Maamandram, berkata penjelasan Azalina bukan sahaja tidak meyakinkan, malah tidak boleh diterima.
“Isu ini bukan isu politik. Ia adalah isu moral, undang-undang dan perlembagaan.
“Undang-undang tidak boleh digunakan secara berpilih, apatah lagi menjadi perisai untuk mereka yang mempunyai pengaruh atau kelebihan agama.
“Kami mendesak kerajaan untuk mula menunjukkan keberanian politik dan integriti undang-undang.
“Rakyat tidak lagi berdiam diri dan sikap tidak bertindak dalam menghadapi provokasi terang-terangan tidak akan diterima,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.