Malaysia Oversight

Perarakan penutupan Bulan Kebangsaan STB penuh ikonik, gemilang

By Utusan in September 11, 2025 – Reading time 3 minute
Perarakan penutupan Bulan Kebangsaan STB penuh ikonik, gemilang


ARAU: Lebih 1,000 murid bersama ibu bapa yang segak memperagakan pakaian bertema kemerdekaan mengikuti perarakan sempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat Sekolah Tengku Budriah (STB) yang berlangsung penuh meriah di Dewan Sivik di sini malam tadi.

Sambutan berkenaan turut diserikan dengan perarakan kenderaan berhias selain motosikal berkuasa tinggi yang penyertaan terdiri dalam kalangan ibu bapa murid sekolah tersebut.

Sambutan yang berlangsung penuh gemilang bermula pukul 8.30 sehingga 11.00 malam itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan nyayian, sajak, gimik sejarah sekolah berusia 130 tahun itu dan pelbagai lagi sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api yang mengamatkan suasana malam berkenaan.

d9858731 cddc 43dc a9ce 71ba69f38007
MURID-murid, guru dan ibu bapa menyaksikan pelbagai persembahan menarik sempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat Sekolah Tengku Budriah (STB) yang berlangsung penuh meriah di Dewan Sivik, Arau, Perlis malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim itu turut dihadiri Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Dr. Ismail Ma’arof.

Muhammad turut menyampaikan anugerah bagi pertandingan hias kelas bertemakan kemerdekaan yang antaranya turut dimenangi oleh kelas satu Abu Bakar.

052b2692 1264 4db0 af57 237d8cdc94f9
MUHAMMAD Abdul Halim (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada guru kelas satu Abu Bakar yang memenangi pertandingan hias kelas bertemakan kemerdekaan bersempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat Sekolah Tengku Budriah (STB) di Dewan Sivik, Arau Perlis malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Perarakan yang diadakan pada waktu malam itu juga disifatkan penuh ikonik sekali gus menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri sempena penutupan sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah tersebut.

Nor Zaitun berkata, sepanjang bulan kebangsaan, pihak sekolah juga telah mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan sambutan kemerdekaan seperti hiasan kelas,replika kenderaan, pengisahan kisah-kisah sejarah, hari terbuka makanan tradisi dan pelbagai lagi.

Ujarnya, setiap program dan aktiviti yang diadakan itu juga menerapkan nilai-nilai kemerdekaan serta menonjolkan taat setia dan menghargai negara tercinta ini.

Selain itu, katanya, ia juga bagi menyemai serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Guru-guru dan Ibu bapa selain murid-murid sekolah yang telah menunjukkan komitmen cukup sangat tinggi dalam menjayakan program ini,” katanya.

ebfd0041 5d7f 434f 9742 b12c35cc9c14
GURU-guru STB bergambar bersama bersempena penutupan Bulan Kebangsaan peringkat Sekolah Tengku Budriah (STB) di Dewan Sivik, Arau Perlis malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Ismail pula berkata, majlis tersebut berlangsung cukup meriah yang turut membabitkan keterlibatan ibu bapa.

“Ibu bapa memberi sokongan cukup baik dengan mengikuti perarakan bersama anak-anak, menyertai perarakan kenderaan berhias selain bersama-sama memeriahkan sambutan ini,” katanya.-UTUSAN





Source link