Semasa Cik Bunga dengar cerita ini, harus diakui, Cik Bunga pun terasa pelik dengan perangai kakak kepada seorang pelakon wanita jelita ini.
Bukan apa, hanya kerana adiknya merupakan seorang pelakon, dia pula yang berlebih-lebihan berangan seolah-olah dia yang artis.
Pengalaman itu dilalui oleh orang belakang tabir sebuah stesen televisyen apabila mereka terbabit mengendalikan sebuah program TV berkonsep santai.
Hendak dijadikan cerita, kakak artis itu terbabit sebagai salah seorang tetamu.
Sumber Cik Bunga beritahu, kakak artis ini buat macam-macam permintaan, mahu solekan begitulah, beginilah, bercerita yang dia ini kakak artislah, minta sediakan itu ini.
Itu belum lagi orang sekeliling bengang dengan kelakuannya mencelah perbualan orang belakang tabir yang sedang buat sesi taklimat di ruang menunggu yang sama.
Bab itu, Cik Bunga pun tidak boleh terima. Kenapa pula mahu mencelah dan menyibuk perbualan orang mengenai kerja, yang tiada kena mengena pun dengan awak? Aduhai, pelik pula dengan perangai dia ini.
Cik Bunga pun tidak sangkalah pelakon wanita itu ada kakak seperti itu.
Bagi Cik Bunga, adiknya yang artis atau dia yang artis? Kalau mahu jadi artis beritahu awal-awal. Tetapi bakat apa pula yang awak ada?
Setakat bermulut murai dan berangan sahaja, itu bukan bakat. Cik Bunga pun tidak pasti jika pelakon ini tahu kakak dia buat perangai begitu. Entah-entah, dia pun tidak tahu. Ini tentu memalukan pelakon itu.