TELUK INTAN: Kerajaan negeri menetapkan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Bukit Merah yang dianggarkan bernilai RM6.2 bilion turut memberi limpahan peluang kepada kontraktor kelas G1 dan subkontraktor kecil tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek itu dianggarkan berjumlah RM5 bilion pada mulanya telah meningkat kepada RM6.2 bilion justeru limpahan ekonomi pelaksanaannya perlu diagihkan secara adil.
“Saya difahamkan kertas Kabinet akan dibawa pada minggu ini. Jadi dulu dalam mesyuarat exco kita buat keputusan supaya kertas Kabinet itu kena ambil kira permintaan dan ulasan daripada kerajaan negeri sebab pertama air itu adalah hak negeri.
“Urusan-urusan pelaksanaannya juga kena ambil kira kepentingan kepada kontraktor-kontraktor di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6 Tahun 2025 di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri telah bersetuju supaya Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan kerjasama antara PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) dan Gamuda Bhd. (Gamuda) sebagai pelaksana dengan mengambil kira penglibatan kontraktor kecil tempatan.
Tambah beliau, jajaran projek berkenaan telah ditetapkan hasil beberapa siri bengkel melibatkan wakil kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaannya menepati keperluan Perak.
“Projek ini akan memberi manfaat utama kepada sistem pengairan pertanian di kawasan utara Perak dan memenuhi keperluan air bagi kawasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.
“Saya harap projek ini dapat disegerakan kerana yang paling penting kita nak selesaikan masalah pengairan pertanian di sebelah utara. Yang kedua kita nak bantu keperluan air bagi KIGIP.
“Kalau ada lebihan baru kita kira nak jual air kepada Pulau Pinang. Jadi tiga dalam satu,” katanya.
Media melaporkan sebelum ini, Gamuda melalui usaha sama (JV) dengan PKNPk diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk mereka bentuk membina dan mengendalikan kemudahan rawatan dan pengagihan air terletak di Kerian.
Projek itu akan membekalkan air terawat kepada KIGIP manakala lebihan bekalan akan disalurkan ke Pulau Pinang.
Ia akan dilaksanakan secara penswastaan yang mana perjanjian dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 90 hari dengan tempoh konsesi minimum selama 40 tahun dan dijangka mula beroperasi menjelang tahun 2030. – UTUSAN