IPOH: Pasukan tuan rumah, Perak Bison muncul juara Liga Sepak Takraw (STL) GP Perak selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Indera Mulia di sini.
Pada perlawanan yang turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, trio tuan rumah, S Kritsada, Aizat Nordin dan Aidil Aiman berjuang selama 61 minit untuk menjinakkan lawan sebelum menang 15-11, 15-12.
Dengan sokongan padu penyokong tuan rumah di Stadium Indera Mulia yang penuh sesak, Perak Bison mempamer aksi hebat untuk memastikan kejuaraan di gelanggang sendiri, sekaligus meraih hadiah kemenangan wang tunai RM15,000.
Sebelum mengesahkan kemenangan, Kelantan Warriors berjaya memberi tentangan yang menyaksikan kedudukan mata begitu rapat.
Hanya sedikit kesilapan pada penghujung kedua-dua set membolehkan Bison menjarakkan diri untuk merangkul kejuaraan.
Warriors juga tidak pulang tangan kosong kerana selaku naib juara menerima hadiah wang tunai RM8,000.
Perak juga menyapu bersih semua anugerah apabila ketiga-tiga pemainnya dinobatkan Tekong, Apit Kanan dan Apit Kiri Terbaik.
Sementara itu, Kuala Lumpur Thunder menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Johor Tigris 2-0.
Selaku pemenang tempat ketiga, KL Thunder pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala Johor Tigris pula terpaksa berpuas hati dengan RM3,000.
ATM Guardians pula menamatkan cabaran pada kedudukan kelima selepas menundukkan Penang Black Panthers 2-0.
Melaka Titans berada pada kedudukan ketujuh dengan kejayaan 2-0 ke atas Bomba Fighters. – UTUSAN