Menyulitkan sandaran WhatsApp kini menjadi lebih mudah pagi ini selepas aplikasi dikemaskini untuk menyokong Passkey. Mesej yang disandarkan ke awanan boleh dikunci menggunakan sistem Passkey dalam bentuk imbasan cap jari, imbasan wajah atau kod kunci. Ia adalah sistem lebih mudah berbanding menghafal kata kunci ataupun kod 64 digit yang ditawarkan WhatsApp sebelum ini.

Untuk menggunakan ciri ini, pengguna hanya perlu pergi ke Settings > Chats > Chat backup > End-to-end encrypted backup. Menurut WhatsApp, ciri ini akan diberikan secara berperingkat kepada semua pengguna dalam minggu-minggu dan bulan mendatang.
Sokongan Passkey sudah lama diminta oleh pengguna WhatsApp kerana ia diintegrasikan pada peranti Android dan iOS. Menghafal kata kunci dan kod 64 digit sebelum ini adalah leceh dan jika terlupa, mesej yang disandarkan tidak boleh diakses selama-lamanya.






