Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Teknikal Shahril Mokhtar meletakkan jawatan.
Gesaan itu dibuat selepas pasukan itu tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) setelah tewas dramatik 2-3 dalam perlawanan malam tadi.
“Desakan ini dibuat atas kegagalan pasukan Selangor FC meneruskan cabaran dalam kempen ACL2 berserta prestasi pasukan yang dilihat terumbang-ambing pada tahun ini,” menurut kenyataan SSFC.
Selangor menduduki tempat corot dalam perlawanan peringkat kumpulan ketinggalan kepada pendahulu Persib Bandung dari Indonesia, Bangkok United dari Thailand, dan malah Lion City Sailors FC dari Singapura.
Dalam perlawanan di laman sendiri di di Stadium MBPJ, Petaling Jaya malam tadi, anak buat Christoper Gamel pulang hampa walaupun mendahului selesa dengan skor 2-0 pada separuh masa pertama.
Permainan didominasi pasukan pelawat.
Kekalahan malam tadi menandakan empat kekalahan berturut-turut di peringkat kumpulan, sekali gus mengesahkan kelab itu gagal mara ke pusingan kalah mati.
Malam tadi, penyokong Selangor FC (SFC) telah dilaporkan ‘mengamuk; dan hilang sabar dengan pengurusan pasukan.
Berita Harian melaporkan beberapa penyokong turut merempuh masuk bahagian utama tempat duduk stadium dan cuba masuk ke bilik orang kenamaan (VIP) bagi mencari Johan.
Penyokong juga dilapor cuba menutup pintu keluar stadium sebagai tanda protes.
Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim yang tidak beraksi malam tadi akibat kecederaan, menteteramkan kemarahan penyokong.
Dalam saingan Liga Malaysia pula, The Red Giants hanya menduduki tempat kelima walaupun dilihat mengekori rapat JDT pada musim lalu.






