Seorang suri rumah mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas rumah sewanya di Suria Tasik Height Apartment, Bandar Tasik Selatan di Sungai Besi ditinggalkan dalam keadaan rosak teruk dan tidak berkunci oleh penyewa yang gagal menjelaskan sewa serta bil utiliti sejak Mei lalu.
Mangsa, Nurdiana Natasha Zulkarnain, 27, berasal dari Negeri Sembilan, berkata unit kediaman tersebut telah disewakan kepada seorang pesara tentera, Bahauddin Idris, yang mengusahakan kedai makan di Sungai Besi, bersama isterinya, Noraini Ngat Dengan, serta anak-anak dan menantu mereka.
Enam ahli keluarga itu dikatakan mula menyewa unit berkenaan pada 1 April 2023 dengan kadar sewa RM1,300 sebulan.
Menurut Nurdiana, pada awalnya, semua urusan berjalan lancar. Namun sejak pertengahan 2025, bayaran sewa keluarga berkenaan mula tertunggak.
Nurdiana telah memberikan kelonggaran atas simpati untuk bayaran dibuat dua kali sebulan, namun, katanya, penyewa masih gagal melunaskan sewa dengan pelbagai alasan.
“Bukan sahaja sewa, bil air dan elektrik pun tak dibayar sampai tertunggak lebih seribu ringgit,” katanya kepada Malaysiakini.
Nurdiana berkata, mereka telah mengeluarkan notis sebulan supaya penyewa mengosongkan rumah pada 15 Julai lalu, hanya akhirnya untuk mendapati penyewa meninggalkan kediaman itu tanpa dikunci dan tanpa sebarang maklum balas.

Apabila dia pergi memeriksa unit berkenaan, dia terkejut mendapati pintu utama pecah, perabot rosak, dan beberapa barang hilang termasuk televisyen, karpet, katil, dan penapis air jenama Coway.
Menurutnya, pintu utama ruang tamu pecah dan tombol rosak dikunci menggunakan kain, manakala pintu di bilik juga pecah disyaki akibat ditumbuk atau disepak.
“Rumah itu sangat kotor, berbau busuk dan banyak barang hilang. Kami anggar kerugian sekitar RM8,000 hingga RM10,000, termasuk tunggakan sewa dan kos baik pulih,” jelasnya dengan nada kecewa.
Jumpa dadah
Lebih mengejutkan, Nurdiana turut menemui barangan dipercayai dadah di dalam salah satu bilik rumah itu.
Dadah itu disyaki ialah syabu atau ‘ice’ yang dalam keadaan serbuk putih dalam paket kecil dengan peralatan dadah yang digunakan.
“Kami terus buat laporan polis pada Julai 2025, tapi sampai sekarang tiada maklum balas. Polis hanya suruh buang bahan tu sebab katanya anak penyewa tu cuma hisap, bukan pengedar,” katanya lagi.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Bandar Tasik Selatan, penyewa terbabit gagal membayar sewa selama dua bulan setengah dengan jumlah tunggakan RM3,050, selain bil elektrik RM118.40 dan bil air RM945.90.
Pemilik juga memaklumkan bahawa deposit RM1,600 tidak akan dipulangkan bagi menampung kos membaik pulih rumah.
Apabila ditanya, Nurdiana berkata dia ketika ini trauma untuk menyewakan rumahnya.
“Kami sangat kecewa sebab dulu percaya mereka orang baik, tidak sangka rumah ditinggalkan sampai macam tu.
“Lepas ini kami bercadang untuk tidak sewakan lagi — kami rancang nak jual saja rumah ni,” katanya.
Setakat ini, Nurdiana menggunakan duit simpanannya untuk memperbaiki segala kerosakan di rumah itu, namun dia masih berusaha mendapatkan balik kos ganti rugi daripada penyewa itu.






