Saya cuma ingin cari duit lebih sambil belajar, tak sangka kamera yang saya beli guna duit sendiri hilang macam tu saja,” luah Umairah Batrisyia Mohd Sukri, pelajar dari Petaling Jaya.
Segalanya bermula apabila Umairah, yang menjalankan perkhidmatan sewaan kamera DJI Osmo Pocket 3 sejak Mei lalu, menyewakan peralatan tersebut kepada seorang lelaki dikenali sebagai “N” pada 15 Oktober, dengan kadar RM50 sehari dan deposit keselamatan RM100.
Kamera itu diambil sendiri oleh N di rumah sepupu Umairah di Banting — lokasi biasa yang digunakannya sebagai pusat serahan untuk pelanggan sekitar Kota Warisan dan KLIA.
“Dia pernah tanya banyak kali tentang ketersediaan kamera, tapi baru kali ini sempat sewa.

“Selepas saya minta bayaran tambahan sebab dia ingin memanjangkan tempoh sewa sehari, nombornya terus tak boleh dihubungi,” katanya kepada Malaysiakini.
Curiga dengan perubahan mendadak itu, Umairah membuat laporan di Balai Polis Sri Manja selepas mendapati nombor telefon digunakan suspek ialah nombor sementara atau “pakai buang”.
Bagi Umairah, kehilangan kamera itu bukan sekadar kerugian material — tetapi tamparan besar terhadap usahanya mencari rezeki sendiri.
“Saya beli kamera guna duit kerja F&B masa cuti semester dan sikit duit PTPTN.
Kamera lesap
“Niat saya nak berdikari, tak susahkan keluarga. Tapi tak sangka akan jadi macam ni,” katanya lagi.
Sejak Mei, lebih 20 pelanggan pernah menyewa daripadanya, kebanyakannya terdiri daripada content creator, juruvideo perkahwinan dan pelajar konvokesyen, dengan kadar RM50 sehari atau RM45 untuk sewaan tiga hari ke atas.
Namun beberapa hari selepas kisahnya tular di media sosial, lebih ramai tampil mengadu mengalami nasib sama dan mendakwa penipuan ini didalangi sindiket.

Nasib sama turut menimpa Nor Zaidatul Azwa Azman, suri rumah dari Shah Alam, apabila kamera DJI Osmo Pocket 3 Creator Combo miliknya bernilai RM3,000 disewa pada 15 Oktober oleh pelanggan yang dipercayai individu sama menggunakan nama N.
“Hari pertama dia mengambil elok je, lepas tu dia mesej nak memanjangkan tempoh sehari lagi.
“Tapi bila sampai masa nak pulangkan, nombor dia terus hilang. Saya ingat dia akan datang pulangkan kamera, rupa-rupanya dah lesap,” katanya kepada Malaysiakini.
Nor Zaidatul membuat laporan polis pada malam Jumaat, 18 Oktober, sebelum mendapat tahu suspek telah ditangkap pagi keesokannya selepas beberapa mangsa menyerbu rumahnya.
Mak nasihat jangan bagi IC
Menurut maklumat daripada ibu suspek, anaknya mendakwa hanya diarahkan untuk mengambil dan menghantar barangan kepada pihak ketiga dengan bayaran RM100 sehari — tanpa menyedari namanya digunakan dalam aktiviti sindiket.
“Ibunya sendiri kata dia dah nasihat anaknya supaya jangan bagi IC depan belakang,” tambah Nor Zaidatul.
N kini direman oleh polis dan dipercayai menjadi ‘kambing hitam’ yang digunakan oleh sindiket sewaan kamera untuk memperdaya penyewa sah.

Mangsa ketiga, Naqiuddin Hariz Suhaimi dari Puchong, turut kehilangan kamera Insta360 X5 miliknya pada 26 Ogos selepas disewa oleh seorang lelaki.
“Dia transfer RM150 siap dengan deposit, siap order Lalamove sendiri.
“Tapi bila saya minta tambah bayaran untuk hari kedua, dia senyap,” katanya.
Apabila gagal menghubungi suspek, Naqiuddin membuat laporan di Balai Polis Putra Perdana sebelum dirujuk ke Balai Cyberjaya.
Penyiasatan lanjut polis membawanya ke alamat IC suspek namun penghuni rumah menafikan mengenalinya.
Rider Lalamove yang terlibat kemudian mengesahkan individu yang menerima kamera itu sama seperti gambar pada kad pengenalan suspek.
Polis kesan dalang sebenar
Siasatan kini tertumpu kepada seorang lelaki yang dipercayai dalang sebenar sindiket berkenaan dan menggunakan identiti individu lain seperti N untuk memperdaya penyewa kamera.
Polis mengesahkan bahawa semua laporan termasuk kes Umairah telah digabungkan di bawah satu siasatan komersial.
Pihak beruasa juga aktif menjejak rangkaian sindiket yang dipercayai aktif menipu penyewa kamera di seluruh Lembah Klang.






