Malaysia Oversight

Penyertaan Timor Leste ke Asean: Kemenangan solidariti serantau

By MkiniBM in July 29, 2025 – Reading time 5 minute
Penyertaan Timor Leste ke Asean: Kemenangan solidariti serantau


Minggu lalu, pada 26 Mei, Perdana Menteri Ibrahim, mewakili Malaysia selaku pengerusi Asean tahun ini, membuat pengumuman bersejarah iaitu Timor-Leste akan menjadi anggota penuh Asean pada Sidang Kemuncak ke-47, Oktober ini.

Bagi ramai rakyat Malaysia, perkara ini mungkin kelihatan seperti perkembangan diplomatik biasa. 

Namun sebenarnya, situasi ini mencerminkan semangat sebuah negara yang teguh dalam perjuangan untuk pengiktirafan, kedaulatan dan tempat yang selayaknya dalam komuniti serantau.

Penyertaan Timor-Leste ini menandakan penghujung perjalanan selama 14 tahun  dari permohonan pada 2011, kepada status pemerhati pada 2022. 

Di sebalik pencapaian rasmi ini, tersirat sebuah naratif harapan yang lebih mendalam  satu kisah yang dibentuk oleh ketabahan, solidariti, dan perjuangan untuk pembebasan.

Ikatan yang bermula dari jauh

Kepada ramai rakyat Malaysia, Timor-Leste mungkin hanya sebuah pulau asing yang jauh dan tidak berkaitan dengan kehidupan seharian kita. 

Namun, sejarah kita lebih berkait rapat daripada yang disangka. 

Mereka yang mengenali sejarah rantau ini mungkin tahu bahawa Melaka dan Timor-Leste pernah berkongsi sejarah bawah penjajahan Portugis. 

Tetapi warisan bersama kita tidak terhenti pada penjajahan semata-mata.

Pada tahun 1980-an, kampus universiti di Australia menjadi pusat aktivisme politik yang rancak, khususnya dalam kalangan pelajar Asia Tenggara. 

Aktivis pelajar dari Malaysia dan Timor-Leste menjalin hubungan erat, disatukan oleh komitmen bersama terhadap keadilan dan demokrasi. 

Bersama rakan-rakan dari Burma, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Singapura, mereka berdiri menentang autoritarianisme dengan harapan terhadap kebebasan.

Antara semua perjuangan itu, penderitaan Timor-Leste paling mencengkam. 

Rakyatnya bukan sahaja dinafikan hak asasi manusia, malah dinafikan kewarganegaraan  di bawah penjajahan ketenteraan Indonesia. 

Pencerobohan ganas itu mengakibatkan ribuan rakyat hidup dalam buangan termasuk José Ramos-Horta, kini presiden Timor-Leste.

Beliau yang ketika itu menjadi suara utama rakyatnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ramos-Horta bukan sekadar jurucakap Timor-Leste. 

Beliau berkongsi pengalaman luas dalam diplomasi antarabangsa dengan gerakan sosial di seluruh dunia. 

Beliau membimbing aktivis dari negara tertindas dan melatih mereka untuk berinteraksi dengan PBB dan institusi global lain untuk tujuan advokasi. 

Bersama-sama, kami merancang, mengatur dan membayangkan sebuah rantau di mana kebebasan dan maruah manusia akan dijunjung tinggi.

Memecah kesunyian

Pada tahun 1975, Timor Timur mengisytiharkan kemerdekaan daripada Portugal, namun tidak lama kemudian diserang oleh rejim Suharto di Indonesia. 

Kekejaman yang berlaku meragut kira-kira 200,000 nyawa  hampir satu pertiga daripada jumlah penduduknya. 

Selama bertahun-tahun, Asean berdiam diri, berpegang kepada prinsip “tidak campur tangan”.

Topeng keamanan itu akhirnya terdedah pada tahun 1991, apabila tentera Indonesia membunuh penunjuk perasaan aman di tanah perkuburan Santa Cruz, Dili. 

Antara mangsa ialah Kamal Bamadhaj, seorang aktivis pelajar Malaysia. 

Kematian beliau meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat sivil Malaysia dan menyedarkan banyak pihak.

Pasca tragedi itu, NGO-NGO Malaysia menjadi lebih lantang mengecam kekejaman di Timor-Leste. 

Dalam masa yang sama, situasi hak asasi manusia di rantau ini turut memburuk, terutamanya di Burma dan Indonesia.

Asean, yang ketika itu baru menerima junta tentera Burma, semakin dilihat seolah-olah merestui penindasan. 

Aktivis Malaysia mengkritik sendiri kerana lebih mementingkan hubungan dengan rejim autoritarian berbanding hak asasi manusia dan tanggungjawab moral.

Insiden Apcet yang terkenal

Selepas pembunuhan Santa Cruz, kumpulan hak asasi dan gerakan penentangan Timor-Leste merancang pendekatan baharu. 

Perjuangan solidariti tidak lagi boleh bergantung kepada sokongan dari Barat. Kini, mesti dibina dari dalam Asia Tenggara sendiri.

Gerakan solidariti mula merancang beberapa persidangan berprofil tinggi di ibu negara Asean. 

Pada 1994, Persidangan Asia-Pasifik mengenai Timor Timur (Apcet) berlangsung di Manila. 

Walaupun terdapat tentangan , persidangan itu berjaya dan menarik perhatian umum. 

Filipina, yang bebas dari pemerintahan Marcos, menjadi hab aktivisme sivil yang rancak.

Dua tahun kemudian, Apcet kedua dijadualkan di Kuala Lumpur.

Kali ini, Malaysia sekutu rapat Suharto ketika itu  cuba menggagalkannya. 

Pada hari persidangan, kumpulan prokerajaan menyerbu secara ganas. 

Aktivis tempatan ditahan, perwakilan asing diusir. 

Ironinya, tindakan keras ini memakan diri dan menjadi kegagalan dari segi persepsi antarabangsa.

Lebih ironik lagi, kumpulan yang mengetuai serbuan tersebut diketuai oleh Saifuddin Nasution Ismail, kini menteri dalam negeri Malaysia, yang ketika itu bertindak bawah arahan Ketua Pemuda , Ahmad Zahid Hamidi, kini timbalan perdana Menteri. 

Ketika itu, kerajaan bawah perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan timbalan perdana menteri Ibrahim masih berpegang teguh kepada doktrin tidak campur tangan Asean.

Namun, sejarah punya cara untuk mengubah pelakonnya. 

Walaupun dahulu menentang, ramai pemimpin ini kemudiannya menjadi penyokong penting dalam perjalanan kemerdekaan Timor-Leste.

Reformasi serantau

Krisis kewangan Asia 1997 mencetuskan gelombang perubahan sosial dan politik. 

Di Malaysia dan Indonesia, gerakan rakyat menuntut reformasi demokratik dengan slogan “Reformasi”. 

Pada 1998, pengunduran Suharto membuka jalan kepada referendum PBB di Timor-Leste. 

Rakyat Timor-Leste memilih kemerdekaan, tetapi menghadapi serangan terakhir yang ganas dari militia tajaan Indonesia.

Dari kehancuran itu, Timor-Leste muncul, pertama di bawah pentadbiran PBB, dan akhirnya sebagai negara berdaulat pada tahun 2002. 

Malaysia memainkan peranan penting dalam tempoh ini, menyumbang pasukan pengaman dan bantuan. 

Walaupun pada awalnya dilihat sebagai penyokong Suharto, pentadbiran Mahathir mengambil pendekatan yang membina terhadap pemulihan Timor-Leste.

Sementara itu di Malaysia,   penggerak utama “Reformasi” dipenjarakan. 

Dalam satu tindakan solidariti transnasional yang berani, Ramos-Horta yang kini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan Timor-Leste yang merdeka, menyatakan sokongan terbuka terhadap Anwar. 

Satu isyarat simbolik daripada pemimpin sebuah negara muda yang masih dalam perjalanan menuju keanggotaan Asean.

Kemenangan bersama

Penyertaan Timor-Leste dalam Asean bukan sekadar kejayaan diplomatik.

Tetapi adalah bukti kepada puluhan tahun solidariti akar umbi, aktivisme rentas negara, dan kepercayaan terhadap keadilan serta hak menentukan nasib sendiri.

Kemasukannya membangkitkan harapan bahawa Asean boleh berubah  dari sekadar “kelab autokrat” kepada komuniti serantau yang berteraskan nilai bersama.

Bagi rakyat Malaysia, ini adalah masa untuk merenung. Dari jalanan Kuala Lumpur hingga ke dewan PBB, masyarakat sivil kita telah lama berdiri bersama Timor-Leste. 

Hari ini, Timor-Leste berdiri bersama kita  bukan lagi di pinggiran, tetapi sebagai ahli penuh dalam keluarga Asia Tenggara.

Sejarah tidak melupakan pengorbanan yang dilakukan dalam senyap. 

Kedaulatan Timor-Leste diperoleh melalui darah, keringat, air mata dan keberanian yang tidak pernah luntur. 

Kejayaan ini dimungkinkan oleh insan-insan berani di Timor-Leste, Malaysia dan serata rantau ini yang tidak pernah berpaling. 

Tempat duduknya di meja Asean adalah satu kemenangan bagi suara hati Asia Tenggara. 

Dan satu peringatan bahawa solidariti, jika berpaksikan kebenaran dan keadilan, mampu mengubah dunia.


TIAN CHUA adalah bekas ahli parlimen Batu dan bekas naib presiden . Kini merupakan pengarah Connect Timor, sebuah inisiatif yang bertujuan menggalakkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Timor-Leste dalam bidang pelaburan serta pembangunan ekonomi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link