Penyelidik Memperlihatkan Komputer Yang Dikuasakan Cendawan
Nazrin
Jika anda membesar dengan cerita dan berita mengenai teknologi, anda pastinya pernah mendengar jenaka tentang bagaimana kentang boleh digunakan untuk menggerakkan sistem operasi Linux. Terkini, sekumpulan penyelidik telah mengambil jenaka tersebut, dan telah membina sebuah “komputer” menggunakan cendawan.
Sekumpulan penyelidik dari Universiti Ohio telah membangunkan sebuah komputer neuromorphic menggunakan cendawan shiitake yang mana menurut abstrak penyelidikan memiripi operasi otak.

Secara lazimnya, sebuah komputer neuromorphic akan memerlukan banyak komponen-komponen yang sukar untuk dihasilkan yang memerlukan unsur nadir bumi yang sukar untuk didapati, dan lebih sukar untuk dihasilkan.
Dengan penyelidikan ini, cendawan shiitake telah digunakan sebagai komponen memristor atau perintang memori yang diperlukan untuk komputer ini. Cendawan shiitake dipilih kerana saiznya yang besar dan mengandungi rangkaian mycelium iaitu sel-sel yang secara lazimnya digunakan untuk mengalirkan zat nutrien ke keseluruhan cendawan.
Setelah cendawan ini ditumbuh ke saiz yang dikehendaki, ia kemudiannya disejatkan dan dihidratkan kembali ke tahap yang mencukupi untuk aliran konduktiviti elektrik yang mencukupi untuk “menguasakan” komputer ini.

Apabila digunakan sebagai memori RAM, kelajuan memristor cendawan ini dlihat mencapai 5.8kHz dengan kejituan 90 ± 1 peratus. Pihak penyelidik mengatakan bahawa memristor cendawan ini hadir dengan banyak aplikasi untuk sektor-sektor teknologi seperti aeroangkasa, sistem komputer kecil dan industri yang memerlukan aplikasi dengan penggunaan tenaga elektrik rendah.
Bukan itu sahaja, memristor ini juga dilihat tahan lasak dan tidak akan terkesan oleh sebarang serangan radiasi. Ia juga berpontensi mengurangkan kebergantungan terhadap unsur nadir bumi. Buat masa ini nampaknya penyelidikan masih lagi terus berjalan untuk menggunakan cendawan ini sebagai satu alternatif kepada bahan komponen komputer.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






