Bekas pembantu presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memberi amaran mengenai bahaya pertelingkahan dalaman parti itu yang jika tidak dibendung boleh merebak dan membahayakan masa depannya.
“Ada penyakit kronik yang sedang melanda Bersatu. Penyakit ini mungkin kena pada seorang dua saja.
“Tapi kalau tak dicari ubat, nanti melarat,” kata Marzuki Mohamad melalui hantaran di Facebook.
Menurutnya walaupun Bersatu mempunyai lebih 90 ahli parlimen dan Adun konflik dalaman boleh mengancam kestabilan parti.

Kenyataan Marzuki dibuat ketika wujud usaha untuk mengetepikan Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional.
Dalam perhimpunan agung tahunan Bersatu baru-baru ini, bekas perdana menteri itu mengakui wujud cubaan sebegitu, mendedahkan terdapat pihak yang sedang mengutip tandatangan untuk menjatuhkannya sebagai presiden.
Ini susulan tularnya surat layang yang menyasarkan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
Perpecahan turut ketara dalam PN, apabila Pemuda PAS mencadangkan Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon perdana menteri, meskipun perwakilan Bersatu telah menamakan Muhyiddin untuk jawatan tersebut sekiranya PN menang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Marzuki mengimbas kembali peristiwa dalam Bersatu ketika parti itu perlu menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh menjelang PRU14.
Menurutnya, dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu, ada yang berpendapat Muhyiddin – yang mengasaskan parti itu bersama Mahathir – sama layak menjadi perdana menteri.
Namun demi mengekalkan perpaduan, Muhyiddin sendiri yang mencadangkan pencalonan Mahathir.
“Sebelum PRU14, Tan Sri Muhyiddin (TSMY) yang bercakap dalam MPT Bersatu supaya Tun Mahathir dicalonkan sebagai PM ke 7 walaupun ada ahli-ahli MPT yang berpandangan TSMY pun PM material.

“Mereka tak bercakap sokong TSMY sebab takut Tun Mahathir terasa hati.
“Mereka juga tak bercakap sokong Tun takut TSMY terasa hati.
“Akhirnya TSMY sendiri yang bercakap sokong Tun Mahathir dan MPT buat keputusan mencalonkan Tun Mahathir sebagai PM ke 7,” katanya.
Marzuki (gambar bawah) menambah pada waktu itu, Mahathir turut menghadiri kongres kebangsaan PKR, di mana perwakilan memegang plakad menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon PM7 – walaupun pemimpin Pakatan Harapan itu masih dipenjara.

“Saya jumpa Lim Kit Siang, dia beritahu DAP tetap mencalonkan Anwar sebagai PM ke 7, bukan orang lain. Itu dasar DAP.
“Kemudian hal pencalonan PM ke 7 dibawa ke Majlis Presiden PH. TSMY sekali lagi antara yang kuat mempertahankan keputusan MPT Bersatu mencalonkan Tun Mahathir sebagai PM ke 7.
Akhirnya selepas beberapa siri rundingan Tun Mahathir dicalonkan sebagai PM ke 7 dan DS Wan Azizah sebagi TPM.
“PH menang PRU 14 dan jadilah Tun Mahathir PM bagi kali kedua,” katanya.